Diterbitkan pada 26 Jun 2025, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengorak langkah dalam mendepani cabaran pendidikan digital global menerusi penganjuran International Digital Education Conference (IDEC) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober 2025 hingga 29 Oktober 2025 secara hibrid.

Bertemakan “Driving Sustainable Development Goals through Emerging Technologies in Digital Education”, IDEC 2025 menghimpunkan pemikir, penyelidik, pendidik, pelajar siswazah dan syarikat teknologi dari pelbagai negara untuk merungkai potensi pendidikan digital ke arah pembangunan mampan.

Antara objektif utama persidangan tersebut termasuklah meneroka cara teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), realiti lanjutan (XR) serta pendekatan seperti pembelajaran mikro, gamifikasi dan pembelajaran sepanjang hayat yang boleh dimanfaatkan untuk memperkasakan pendidikan pada masa ini, selain membuka peluang kepada para pembentang menyampaikan hasil kajian mereka dan diterbitkan dalam platform ilmiah yang terpilih.

Lebih menarik, yuran penyertaan IDEC amat berpatutan, iaitu hanya RM150.00 untuk pelajar tempatan dan USD40 hingga USD100 untuk peserta antarabangsa, sekali gus menjadikan IDEC sebagai medan ilmu berimpak tinggi dan inklusif.

IDEC juga mendorong penyertaan aktif daripada golongan pelajar dengan ruang interaksi bersama-sama pakar pendidikan digital serta wakil institusi global kerana IDEC bukan sekadar persidangan akademik tetapi medan pencetus kerjasama merentas negara yang sebenar.

Pendaftaran peserta dan pembentang kini dibuka hingga 22 Oktober 2025, manakala tarikh akhir penghantaran abstrak adalah pada 22 September 2025.

IDEC 2025 yang dianjurkan oleh PPPJJ, USM itu adalah hasil kerjasama dengan rakan strategiknya seperti International Council for Open and Distance Education dan institusi dari Indonesia, Taiwan serta Bangladesh.

Lebih istimewa lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh selaku Timbalan Ketua Menteri Dua serta Exco Pembangunan Model Insan, Sains dan Teknologi turut serta dalam menjayakan program yang bermanfaat dan berimpak tinggi tersebut.

Sehubungan dengan itu, segala maklumat yang berkaitan dengan IDEC 2025 seperti peluang penajaan, kerjasama serta pautan pendaftaran boleh diperoleh menerusi e-mel, [email protected] atau mengimbas kod QR yang tertera pada poster rasmi persidangan ini.

Poster IDEC 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi