Diterbitkan pada 21 Jun 2025, 09:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sains forensik kini bukan hanya digunakan selepas jenayah berlaku tetapi semakin dilihat sebagai kaedah yang dapat membantu mencegah jenayah, memperkukuh komuniti dan meningkatkan keselamatan awam.

Penyelaras Program Penguatkuasaan Undang-undang dan pensyarah di Enforcement, Leadership and Management University, Puan Norashikin Othman berkata, apabila masyarakat memahami cara sains forensik berfungsi, mereka akan dapat membuat keputusan yang lebih baik serta bekerjasama dengan pihak penguat kuasa undang-undang untuk memperkasakan sistem keadilan.

“Pengetahuan awam mengenai sains forensik sangat penting dalam mengurangkan jenayah kerana ilmu ini mampu memperbaik cara sesuatu bukti dikendalikan, menghalang jenayah, menyokong perbicaraan yang adil dan membantu dalam merangka dasar,” katanya ketika ditemu bual dalam program Face to Face di TraXX FM, Radio Televisyen Malaysia.

Puan Norashikin Othman (kanan) di TraXX FM, Radio Televisyen Malaysia.

Ujar beliau,

Pakar forensik mestilah tampil untuk mendidik masyarakat dan menjalin hubungan dengan komuniti kerana langkah itu dapat memaksimumkan potensi sains forensik.

Beliau juga memaklumkan bahawa matlamat utama sistem perundangan adalah untuk mencari kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan.

Jelasnya,

Sains forensik memainkan peranan yang penting kerana bukti yang diperoleh adalah berdasarkan fakta fizikal dan berupaya membuktikan kesalahan seseorang atau membebaskan individu yang tidak bersalah berbanding dengan keterangan saksi yang berkemungkinan tidak boleh dipercayai.

Beliau memberikan contoh bahawa bukti asid deoksiribonukleik (DNA) dapat membantu membatalkan sabitan kesalahan walaupun selepas bertahun-tahun.

Ujarnya,

Sains forensik juga menyokong atau mencabar bukti lain seperti kenyataan saksi atau pengakuan, selain membantu merungkai segala yang berlaku di tempat kejadian jenayah melalui corak darah, kecederaan atau pergerakan kenderaan.

Apabila ditanya mengenai peranan pelbagai jenis bukti dalam menyelesaikan jenayah, beliau menjelaskan bahawa tempat kejadian jenayah bukan sekadar satu lokasi, malah menyimpan petunjuk mengenai kejadian yang berlaku.

“Bukti yang dikumpulkan dari tempat kejadian boleh menjadi penentu utama terhadap keputusan sesuatu kes,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun bukti testimoni bersifat subjektif dan boleh dipengaruhi oleh faktor kelupaan atau kesilapan ingatan, namun bukti tersebut masih penting.

“Bukti testimoni merangkumi kenyataan daripada saksi, mangsa atau suspek yang boleh berupa pengakuan lisan, kenyataan bersumpah atau pengakuan yang dibuat semasa sesi temu duga, soal siasat atau prosiding mahkamah,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa walaupun bukti testimoni bukanlah bukti fizikal, namun bukti ini boleh membantu memberikan arah kepada siasatan atau memberikan konteks kepada bukti fizikal.

Beliau juga berkata, bukti testimoni yang boleh dipengaruhi oleh prasangka atau ingatan yang salah menyebabkan hal itu haruslah dikendalikan dengan teliti.

“Pakar forensik menggunakan teknik temu duga berstruktur seperti kaedah temu duga kognitif dan berusaha mengesahkan kenyataan dengan bukti lain seperti rakaman video atau data lokasi bagi memastikan maklumat tersebut boleh dipercayai,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi