Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan yang telah dilancarkan hari ini bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasakan ilmu sains dan teknologi nuklear di Malaysia.

Penerbitan buku tersebut merupakan antara inisiatif di bawah sokongan berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperluas pemahaman masyarakat terhadap penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara aman di samping memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara.

Usaha ini juga selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab serta memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Mohammad Yusof Apdal dalam ucapan perasmiannya, MOSTI amat komited untuk memperluas penggunaan teknologi, termasuklah teknologi nuklear dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, industri, perubatan dan alam sekitar.

YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Buku Bertemakan Sains dan Teknologi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Ujar beliau,

Penerbitan buku ini bukan sahaja merakamkan hasil penyelidikan saintifik, malah memperkukuh usaha MOSTI untuk menyampaikan ilmu dan inovasi kepada rakyat secara berterusan.

Beliau juga berkata, penerbitan buku seperti Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan bukan sahaja mencerminkan komitmen dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara, malah memperluas literasi sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat, selaras dengan usaha MOSTI untuk menjadikan sains dan teknologi sebagai teras kemajuan negara serta memperkasakan aplikasi teknologi nuklear secara aman dan bertanggungjawab dalam pelbagai sektor seperti pertanian.

Beliau juga menyatakan bahawa penghasilan buku ini mencerminkan teras dalam DTNN 2030, iaitu memperluas aplikasi teknologi nuklear dalam sektor makanan dan pertanian, terutamanya dalam membangunkan varieti tumbuhan baharu dengan ciri yang lebih baik melalui induksi mutasi nuklear.

Katanya,

Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan mengandungi penerangan menyeluruh mengenai konsep biak baka mutasi, kaedah pelaksanaan serta dokumentasi varieti tanaman yang telah berjaya dibangunkan oleh penyelidik tempatan.

Sejak awal tahun 1990-an, Agensi Nuklear Malaysia telah menghasilkan lebih daripada 30 mutan tanaman dan sekitar 60 peratus daripadanya merupakan tanaman hiasan berbunga dan landskap.

Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan varieti baharu tanaman hiasan dan teknologi yang digunakan berjaya menghasilkan pelbagai tanaman baharu yang menyumbang kepada pembangunan industri florikultur tempatan.

Buku ini disasarkan kepada penyelidik, pensyarah, pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah sebagai sumber rujukan dan pendedahan awal terhadap manfaat teknologi nuklear secara aman dalam meningkatkan kesejahteraan hidup dan ekonomi negara.

Majlis ini juga turut mengukuhkan peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sebagai peneraju penerbitan bahan ilmiah yang berkualiti tinggi dalam bahasa kebangsaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan budaya ilmu dan inovasi dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dan tetamu undangan lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi