Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi — Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025 anjuran Agensi Nuklear Malaysia telah berjaya dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam menangani sebarang insiden kecemasan secara lebih sistematik.

Bengkel tersebut telah berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Kompleks Bangi dan menghimpunkan peserta daripada pelbagai bahagian operasi serta teknikal.

Bengkel tahunan ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Kecil Penyelia Kawasan (JKPK) Agensi Nuklear Malaysiadalam memastikan semua anggota organisasi mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi terhadap potensi insiden yang melibatkan pencemaran radiasi dan kebakaran yang sering dikaitkan dengan pengendalian bahan radioaktif dan operasi kemudahan nuklear.

Dalam ucapan perasmian oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan, menegaskan bahawa keselamatan dan sekuriti nuklear merupakan teras utama tanggungjawab organisasi tersebut, lebih-lebih lagi apabila Agensi Nuklear Malaysia merupakan entiti yang tersenarai dalam Sasaran Penting Keutamaan 1 (SPK1) serta telah diwartakan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan (lima dari kiri) bergambar kumpulan bersama para peserta yang hadir di Bengkel Keselamatan dan Pelan Tindakan Insiden (Pencemaran Radiasi dan Kebakaran) 2025 di Agensi Nuklear Malaysia, Kompleks Bangi.

“Aspek keselamatan dan sekuriti bukan hanya menjadi keutamaan institusi, malah merupakan komitmen nasional dalam memastikan keselamatan awam, perlindungan alam sekitar dan kelestarian operasi teknologi nuklear di negara ini,” ujar beliau.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan turut menekankan kepentingan latihan seperti bengkel ini dalam membentuk budaya keselamatan nuklear (nuclear safety culture) yang kukuh dalam kalangan warga kerja.
Menurutnya,

Latihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran terhadap protokol keselamatan sedia ada, malah dapat menguji kecekapan pelaksanaan pelan tindakan sekiranya berlaku kecemasan sebenar.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan juga menzahirkan harapan agar usaha seperti ini diteruskan secara konsisten sebagai sebahagian daripada amalan terbaik dalam pengurusan risiko dan keselamatan organisasi.

Turut hadir dalam bengkel ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor serta Pengerusi JKPK, Encik Yii Mei Wo.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi