Diterbitkan pada 23 April 2025, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Sebanyak 32 orang murid berkeperluan khas daripada lapan buah sekolah di sekitar kawasan Seremban telah mengambil bahagian dalam program pendidikan inklusif, iaitu “STEMability: Unlocking Potential through STEM” yang memberikan tumpuan kepada penerokaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui aktiviti berasaskan permainan dan pembelajaran adaptif.

Program ini diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran Jom Baca Bersama untuk 10 Minit dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Perpustakaan Negeri, Seremban 2.

YBhg. Datin Seri Hajah Wan Hasni Wan Yusof melawat ruang aktiviti dan berinteraksi bersama-sama peserta program.

Inisiatif ini dikendalikan oleh Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU) dengan sokongan penuh dari Jabatan Pendidikan Daerah Seremban dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS).

Pensyarah Kanan dan Teknologis Profesional di Jabatan Pengimejan Perubatan merangkap Penasihat Program, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain menjelaskan bahawa STEMability dirancang untuk memperkenalkan bidang STEM kepada murid istimewa dalam persekitaran yang menyeronokkan, mudah diakses dan selamat untuk diterokai.

Kata beliau,

Setiap murid mempunyai keupayaan untuk berjaya apabila diberikan peluang, maka aktiviti interaktif dan pendekatan pelbagai deria seumpama ini berupaya memberikan ruang kepada murid untuk membina keyakinan diri dan kemahiran sosial sambil mempelajari ilmu STEM secara berperingkat.

Ujarnya, antara aktiviti yang mencuri perhatian termasuklah eksperimen sains seperti “Rainbow Milk Swirl dan “Mini Tsunami”, diikuti dengan aktiviti fizikal yang menyeronokkan seperti “Victory Toss” dan “Survive the Minefield”.

Aktiviti “Victory Toss” dan “Survive the Minefield” menguji koordinasi, fokus dan kerjasama antara para peserta.

Pada masa yang sama, murid turut menyertai aktiviti kognitif seperti “Match and Move” dan “Do Not Touch the Colour’” yang direka untuk merangsang pemikiran pantas dan kreativiti murid.

Aktiviti “Match and Move” dan “Do Not Touch the Colour” merangsang kemahiran berfikir secara kreatif dan refleks yang pantas.

Sepanjang program tersebut berlangsung, murid kelihatan bersemangat dan aktif dalam setiap sesi, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan inklusif ini.

Sesi refleksi dan perkongsian pengalaman pula diadakan pada hujung program bagi memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan pandangan mereka dan kebanyakan daripada peserta menyatakan keterujaan dan harapan untuk terus menyertai program seumpama ini pada masa hadapan.

Kejayaan STEMability 2025 membuktikan bahawa pendekatan yang inklusif dan responsif terhadap keperluan murid berkeperluan khas dapat memperluas akses kepada pendidikan STEM, sekali gus menyemai minat terhadap bidang ini sejak peringkat awal lagi.

Antara tetamu yang hadir bergambar bersama-sama dalam majlis perasmian penutupan program STEMability 2025.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Yang Dipertua Bakriyah Negeri Sembilan, YBhg. Datin Seri Hajah Wan Hasni Wan Yusof; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan, YBhg. Datin Suriani Yahya; Timbalan Pengarah PPANS, Encik Hamdan Haji Nordin; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Khalidah Haji Omar dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Mohd Aiman Abdoll Aziz.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi