Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTarikh 14 Mac telah ditetapkan sebagai tarikh untuk meraikan Hari Matematik Antarabangsa. Pada hari yang sama juga, kebanyakan negara menyambut Hari Pi (π).
Pemilihan tarikh ini berdasarkan amalan penulisan tarikh 3/14 di beberapa negara. Secara kebetulan, 14 Mac merujuk tiga digit pertama bagi nombor Pi (π), iaitu 3.14.
Pi merupakan nisbah lilitan sebuah bulatan terhadap diameternya. Pi turut dikenali sebagai nombor tidak terhingga dan membawa maksud siri perpuluhan yang berterusan tanpa penghujung. Kehadiran nombor ini dalam pelbagai aspek kehidupan matematik menjadikan tarikh ini sangat simbolik untuk meraikan keuniversalan matematik.
Hari Matematik Antarabangsa telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun November 2019. Sambutan pertamanya pula telah diadakan pada 14 Mac 2020. Projek ini dipimpin oleh Kesatuan Matematik Antarabangsa dengan sokongan daripada pelbagai organisasi antarabangsa dan serantau dari seluruh dunia.
Tema Hari Matematik Antarabangsa pada tahun ini ialah “Matematik, Seni dan Kreativiti”. Melalui tema ini, dapat dibuktikan bahawa matematik yang sering kali dianggap sukar oleh kebanyakan pelajar, sebenarnya memiliki hubungan yang mendalam dengan seni dan kreativiti. Hubungan ini juga menunjukkan bahawa matematik ialah bidang yang melangkaui batasan nombor, formula, pola, struktur dan kebarangkalian yang tidak terhingga.
Pada Hari Matematik Antarabangsa, keindahan pemalar matematik Pi (π) menjadi simbol bahawa matematik tidak hanya memfokuskan perhitungan, malah berkait rapat dengan kreativiti dalam pelbagai bidang. Selain meraikan pemalar tersebut, sambutan ini juga mempamerkan potensi kreativiti yang dapat diilhamkan oleh matematik. Hal ini menunjukkan bahawa konsep dan struktur matematik dapat menjadikan matematik lebih daripada sekadar alat pengiraan.
Bagi meraikan Hari Matematik Antarabangsa, pelajar dan pendidik digalakkan untuk menghargai cara matematik menginspirasikan kreativiti dan pemecahan masalah yang tidak dijangka. Bermula daripada ketepatan dalam lukisan matematik sehinggalah kepada keindahan corak fraktal, matematik telah terbukti mampu menjadi sumber inspirasi kreatif yang berharga.
Pada tahun lalu, kelemahan asas matematik dalam kalangan pelajar, khususnya pada peringkat sekolah rendah sering menjadi topik perdebatan oleh pelbagai pihak. Satu daripada laporan yang menyoroti hal ini ialah laporan daripada Bank Dunia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills” yang menganalisis isu pendidikan di Malaysia.
Selain itu, pencapaian pelajar Malaysia yang rendah dalam pentaksiran antarabangsa yang dikenali sebagai Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 juga mencetuskan keprihatinan banyak pihak. Menurut laporan TIMSS, terdapat hubungan yang positif antara pelajar yang menghargai matematik dengan pencapaian mereka dalam subjek tersebut.
Dalam konteks ini, tema Hari Matematik Antarabangsa 2025 dilihat sangat relevan dengan isu yang sedang dihadapi oleh pendidikan matematik di negara ini. Bersempena dengan hari tersebut, penulis ingin mencadangkan beberapa penggunaan nilai Pi (π) yang boleh dijadikan sebagai inspirasi untuk aktiviti seni yang menarik dan kreatif di dalam bilik darjah. Usaha ini diharapkan berupaya memupuk minat dan penghargaan pelajar terhadap matematik dengan mengaitkan konsep yang abstrak dalam matematik dengan kegiatan kreatif yang menyenangkan.
Sememangnya diketahui bahawa nilai Pi (π) ialah nombor yang tidak terhingga. Contohnya, nilai Pi (π) yang dihuraikan sehingga 39 tempat perpuluhan ialah 3.141592653589793238462643383279502884197.
Dalam aktiviti di kelas bagi mata pelajaran Matematik, guru boleh meminta pelajar untuk melukiskan sebuah bulatan dan menandakan dengan nombor dari 0 hingga 9 dengan menggunakan skala yang sama di sepanjang lilitan bulatan tersebut. Pelajar pula perlu menghubungkan nombor ini dengan menggunakan pensel warna yang berlainan. Setiap nombor diwakili oleh warna tertentu. Misalnya, nombor 0 diwakili oleh warna merah, 1 oleh biru, 2 oleh hijau, 3 oleh kuning, 4 oleh jingga, 5 oleh ungu, 6 oleh coklat, 7 oleh merah jambu, 8 oleh firus dan 9 oleh hitam
Nilai Pi bermula dengan angka 3.14… Oleh itu, pelajar boleh menuliskan nombor 3 pada titik yang dipilih pada bulatan, diikuti oleh nombor 1, 4 dan seterusnya, mengikut urutan nilai Pi yang tepat. Nombor ini akan disusun secara berterusan mengelilingi bulatan dan mencipta pola nombor yang unik dan berkesan visual yang menarik. Aktiviti seni ini juga menjadi bentuk seni visual yang menggabungkan pengulangan, simetri dan struktur yang jelas.
Sebagai tambahan, antara aktiviti seni lain yang dapat dilaksanakan termasuklah pembinaan pencakar langit dengan menggunakan kertas grid atau kertas berkotak. Pelajar boleh menggunakan pensel warna atau krayon untuk mewarnakan jumlah petak secara menegak yang bersesuaian dengan nilai Pi pada setiap lajur. Contohnya, lajur dengan nombor 3 akan diwarnakan tiga petak, lajur dengan nombor 4 pula diwarnakan empat petak dan seterusnya.

Aktiviti ini boleh dilakukan secara berterusan sehingga semua lajur yang diwakili oleh nombor dalam Pi diwarnakan. Pelajar juga boleh memilih untuk menggunakan warna yang sama atau berbeza bagi setiap nombor.
Setelah selesai, pelajar boleh menghias latar belakang yang bersesuaian dengan kreativiti masing-masing seperti menggambarkan bintang di langit, pokok atau matahari. Aktiviti ini bukan sahaja menarik minat pelajar terhadap matematik, malah membolehkan mereka menghargai keindahan dan aplikasi matematik dalam bentuk seni visual.
Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia dikenali dengan kekayaan seni daripada pelbagai kaum yang setiap satumya boleh dikaitkan dengan Pi (π). Satu daripada contohnya ialah “kolam”, bentuk lukisan tradisional masyarakat India yang berasal dari India Selatan.
“Kolam” biasanya dilukis dengan tepung beras atau serbuk berwarna di pintu masuk rumah sebagai simbol penyambutan tetamu dan memohon keberkatan. Seni ini melibatkan melibatkan konsep geometri dan simetri yang terdiri daripada titik, garis, bulatan dan lengkung.

Tanglung yang merupakan simbol kebudayaan Cina juga memperlihat kaitan yang menarik dengan Pi, terutamanya melalui bentuk bulatan. Tanglung tradisional selalunya berbentuk silinder atau sfera. Kedua-dua struktur ini sebenarnya mengandungi elemen geometri yang berkait rapat dengan Pi, sekali gus menonjolkan keterkaitan seni dengan matematik.
Batik pula merupakan seni fabrik tradisional yang boleh mempunyai hubungan yang menarik dengan Pi (π) apabila pencanting memberikan tumpuan kepada corak bulat yang sering digunakan dalam reka bentuk batik. Walaupun seni batik lebih tradisional dikaitkan dengan reka bentuk rumit yang selalunya lebih simbolik atau hiasan, banyak corak masih mempunyai hubungan geometri asas yang menghubungkan kembali kepada konsep bulatan. Aktiviti sebegini mampu menarik minat pelajar mempelajari matematik di samping menghargai keindahan yang terdapat di dalamnya.
Secara keseluruhannya, konsep matematik sememangnya tidak terpisah daripada kehidupan sehari-hari manusia. Pi (π) sebagai pemalar dalam bidang matematik juga mempunyai hubungan yang erat dengan kehidupan pelajar sehingga nilainya diangkat sebagai tarikh bagi perayaan Hari Matematik Antarabangsa.
Sementara itu, tema pada tahun 2025 yang mengangkat “Matematik, Seni dan Kreativiti” membuktikan bahawa seni adalah sebuah ekspresi kreativiti, manakala matematik acap kali dianggap sebagai subjek yang sukar dan kompleks. Oleh itu, gabungan antara matematik dengan seni seharusnya membuka peluang baharu untuk meneroka keindahan yang terkandung dalam struktur dan angka. Antara cara menarik untuk mengintegrasikan seni dan matematik adalah melalui penggunaan angka Pi (π), nombor bukan rasional yang terkenal dengan sifatnya yang tidak berulang dan tak terhingga.
Dalam meraikan Hari Matematik Antarabangsa 2025 pada hari ini, marilah kita memanfaatkan kesempatan ini untuk menghargai dan mendalami hubungan antara matematik dengan seni serta menghayati peranan kedua-duanya yang saling melengkapi dalam mencipta ekspresi yang unik dan bermakna.
Abdul Halim Abdullah,
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi,
Universiti Teknologi Malaysia.