Diterbitkan pada 30 Ogos 2025, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu terkenal dengan kehalusan kiasan, keindahan peribahasa dan ketepatan perumpamaan. Ungkapan yang diwarisi turun-temurun bukan sahaja memperindah tutur kata, malah sarat dengan makna yang membentuk pemikiran serta nilai masyarakat. Menariknya, di sebalik kiasan ini, terselit unsur logik dan struktur yang seiring dengan prinsip dalam matematik.

Matematik sering dikaitkan dengan angka, simbol dan formula. Peribahasa dan perumpamaan pula lahir daripada pengalaman, pengamatan dan kebijaksanaan orang lama. Walau berbeza dari segi bentuk, kedua-duanya saling melengkapi dalam menjelaskan konsep kehidupan.

Peribahasa menggunakan logik dan perbandingan untuk menyampaikan mesej yang tepat. Matematik pula menggunakan hubungan dan struktur bagi menerangkan sesuatu konsep. Jika diperhatikan, banyak peribahasa dan perumpamaan Melayu yang bersandarkan pada ukuran, bilangan, kebarangkalian, simetri serta keseimbangan, sekali gus memperlihatkan pemikiran yang tersusun dan analitikal dalam budaya bahasa.

Sebanyak Pasir di Pantai

Ungkapan ini menggambarkan sesuatu yang jumlahnya terlalu banyak sehingga mustahil untuk dihitung. Gambaran pantai yang dipenuhi pasir halus menzahirkan visual tentang bilangan yang tidak berkesudahan. Keadaan ini dapat dikaitkan dengan konsep infiniti dalam matematik, iaitu idea bahawa sesuatu set terlalu besar untuk ditentukan bilangannya atau tidak mempunyai had penghujung.

Perumpamaan sebanyak pasir di pantai menggambarkan sesuatu yang jumlahnya terlalu banyak hingga mustahil untuk dihitung.

Yang Secupak Takkan Jadi Segantang

Peribahasa ini merujuk batas keupayaan atau potensi semula jadi sesuatu. Maksudnya, perkara yang kecil tidak akan menjadi besar tanpa proses atau usaha yang bersungguh-sungguh.

Dalam sistem ukuran tradisional, satu gantang bersamaan empat cupak yang menandakan adanya had serta aturan dalam pertukaran nilai. Prinsip ini seiring dengan pemikiran matematik tentang kapasiti, penukaran unit dan konsep had.

Bagai Berkain Tiga Hasta

Peribahasa ini menggambarkan keadaan serba tidak cukup atau kekurangan akan keperluan. Kain sepanjang tiga hasta dianggap terlalu pendek untuk menutup tubuh dengan sempurna.

Hal ini berkait rapat dengan konsep ukuran panjang dalam matematik. Hasta merupakan unit tradisional yang pernah digunakan oleh masyarakat Melayu sebelum wujudnya sistem ukuran moden. Peribahasa ini menegaskan kepentingan memahami ukuran minimum dalam kehidupan harian serta dalam proses pengiraan.

Berdikit-dikit Lama-lama Jadi Bukit

Peribahasa ini membawa maksud bahawa usaha kecil yang dilakukan secara berterusan akhirnya akan menghasilkan kejayaan yang besar. Peribahasa ini antara yang paling dikenali dan sering digunakan dalam konteks motivasi serta pendidikan.

Prinsipnya seiring dengan konsep janjang aritmetik dan pengumpulan dalam matematik, iaitu jumlah kecil yang ditambah secara konsisten mampu membentuk nilai yang besar. Contohnya, amalan menabung seringgit sehari akan terkumpul menjadi jumlah yang signifikan.

Ukur Baju di Badan Sendiri

Peribahasa ini mengingatkan kita supaya bertindak mengikut kemampuan diri. Prinsip ini menekankan kepentingan skala, pengukuran relatif dan rujukan yang tepat, sama seperti dalam matematik yang memerlukan asas kukuh sebelum sesuatu keputusan dapat dibuat dengan betul.

Sepandai-pandai Tupai Melompat, Sekali Gawal Juga

Peribahasa ini menyampaikan mesej bahawa tiada manusia yang sempurna. Walaupun seseorang memiliki kepintaran atau kemahiran tinggi, tetap akan tiba masanya melakukan kesilapan.

Hal ini seiring dengan prinsip kebarangkalian, iaitu sesuatu yang jarang-jarang berlaku masih mempunyai kemungkinan untuk terjadi. Dalam statistik, semakin banyak percubaan dilakukan, semakin besar pula peluang berlakunya ralat.

Penyu Bertelur Beratus-ratus Banyaknya, Senyap; Ayam Bertelur Sebutir Saja, Hingar Sekampung

Peribahasa ini menggambarkan tindak balas yang berlebihan terhadap perkara kecil. Fenomena tersebut menyerupai sifat sistem tak linear, iaitu keadaan apabila perubahan kecil pada input mampu mencetuskan kesan yang besar.

Dalam bidang fizik dan matematik, konsep ini dikenali sebagai kesan rama-rama (butterfly effect). Peribahasa ini menjadi peringatan agar kita menilai sesuatu secara rasional, bukan semata-mata melalui emosi atau persepsi.

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing

Peribahasa ini menekankan kepentingan kerjasama serta pembahagian tugas yang adil. Prinsip ini seiring dengan asas dalam pelbagai cabang matematik, termasuklah algebra dan statistik yang menitikberatkan agihan nilai secara seimbang bagi memastikan kestabilan sesuatu sistem.

Bagai Pinang Dibelah Dua

Perumpamaan ini sering digunakan untuk menggambarkan dua individu yang sepadan, biasanya dalam konteks pasangan. Visual pinang yang dibelah tepat di tengah memberikan gambaran yang jelas tentang keserupaan dari segi bentuk, saiz dan keseimbangan. Ungkapan ini selari dengan konsep simetri dalam matematik, khususnya dalam bidang geometri yang turut diaplikasikan dalam sains dan kejuruteraan kerana bentuk simetri lazimnya dianggap lebih stabil serta seimbang.

Perumpamaan bagai pinang dibelah dua menggambarkan dua individu yang sama cantik dan sama padan.

Sebagai Aur dengan Tebing

Peribahasa ini merujuk kepada hubungan yang saling memerlukan dan saling menyokong. Batang aur yang tumbuh di tepi sungai condong ke arah air, manakala tebing menahan serta menegakkannya agar tidak tumbang.

Gambaran ini menyerupai sistem saling bergantung dalam matematik, seperti persamaan serentak dalam algebra yang hanya dapat diselesaikan apabila kedua-dua unsur bergerak seiring. Dalam kehidupan harian, peribahasa ini menjadi peringatan bahawa kerjasama merupakan asas kepada kestabilan, sama seperti aur yang memerlukan tebing untuk terus tegak.

Seperti Langit dengan Bumi

Ungkapan ini menggambarkan perbezaan yang sangat ketara antara dua perkara. Ayat ini lazimnya digunakan untuk menekankan jurang yang luas dari segi status, kualiti atau tahap pencapaian.

Dalam matematik, keadaan ini seiring dengan konsep julat nilai atau perbezaan mutlak antara dua nombor. Semakin besar jurangnya, semakin tinggi pula tahap ketidakseimbangan. Dalam konteks pendidikan, perumpamaan ini mengingatkan bahawa pendekatan seragam tidak sesuai digunakan terhadap pelajar yang memiliki tahap kemampuan berbeza.

Sekelip Mata

Ungkapan ini menggambarkan sesuatu yang berlaku dalam tempoh yang sangat singkat. Dalam bidang matematik dan fizik, keadaan tersebut berkait rapat dengan kadar perubahan serta unit masa.

Masyarakat Melayu tradisional pernah menggunakan unit kelip, iaitu masa bagi satu kelipan mata yang bersamaan kira-kira 0.2112 saat. Ungkapan ini menekankan betapa pentingnya kesedaran terhadap masa sebagai faktor kritikal dalam pelbagai sistem, khususnya ketika membuat ramalan atau keputusan yang memerlukan tindakan segera.

Ungkapan sekelip mata menggambarkan kepantasan peristiwa yang berlaku dalam tempoh masa yang amat singkat.

Bahasa dan matematik, pada pandangan pertama, sering dianggap sebagai dua bidang yang berbeza. Namun begitu, melalui peribahasa dan perumpamaan Melayu, terbukti bahawa pemikiran matematik telah lama wujud dalam budaya dan cara berfikir masyarakat tradisional. Unsur ukuran, bilangan, logik, simetri, keseimbangan dan perubahan sudah terserap dalam ungkapan harian yang diwarisi turun-temurun.

Kesedaran ini semakin jelas apabila diteliti sistem ukuran tradisional Melayu yang digunakan dalam kehidupan seharian. Ungkapan seperti sejengkal, sedepa, secupak, segantang, sehasta, sepelaung, setanak nasi dan sepurnama menunjukkan kefahaman masyarakat terhadap ukuran, perkadaran dan penggunaan ruang secara teratur. Walaupun tidak seformal sistem metrik moden, unit ini membuktikan bahawa bahasa telah berperanan sebagai asas awal kepada pembentukan sistem matematik tempatan.

Daripada kefahaman tersebut, jelaslah bahawa bahasa bukan hanya alat komunikasi, malah sebagai wahana ilmu yang membimbing pemikiran logik. Oleh itu, pendidik dan pelajar wajar memanfaatkan khazanah peribahasa serta ukuran tradisional dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Pendekatan ini dapat menjadikan ilmu lebih kontekstual, dekat dengan kehidupan serta menumbuhkan rasa bangga terhadap warisan budaya bangsa.

Kesimpulannya, peribahasa tidak terbatas pada keindahan bahasa semata-mata, sebaliknya memperlihatkan cara berfikir yang teratur dan berlandaskan logik. Di sinilah wujud pertemuan antara puisi dengan nombor, antara bahasa yang indah dengan matematik yang teliti dalam membentuk minda yang seimbang, berwawasan serta berakar kepada budaya.

Syed Azman Syed Ismail,
Pelajar Pascasiswazah,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Madya Dr. Siti Mistima Maat,
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi