Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada setiap 20 Oktober, Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa meraikan Hari Statistik Negara sebagai pengiktirafan terhadap peranan data dalam pembangunan negara. Sambutan tahun 2025 yang bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan” menyerlahkan kepentingan statistik sebagai asas kepada kefahaman terhadap manusia, masyarakat dan kemajuan peradaban.
Dalam era yang sedang digerakkan oleh maklumat, statistik berfungsi sebagai bahasa sejagat yang membantu manusia mentafsirkan realiti dengan lebih tepat dan rasional. Melalui angka dan data, pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan awam dan kesejahteraan sosial dapat dinilai secara objektif. Statistik juga menjadi nadi utama dalam pembentukan dasar, penyelidikan dan pengajaran, termasuklah dalam bidang pendidikan matematik.
Kehidupan seharian masyarakat kini tidak dapat dipisahkan daripada data. Laporan cuaca, kadar inflasi, statistik kesihatan atau peratusan pencapaian pelajar dalam peperiksaan memerlukan pemahaman statistik untuk ditafsirkan dengan betul. Persoalan tentang keperluan mempelajari statistik terjawab apabila kita menyedari bahawa ilmu ini membolehkan manusia memahami dunia yang kompleks melalui pendekatan tersusun dan berasaskan bukti.
Pengalaman semasa pandemik COVID-19 membuktikan akan kepentingan data dalam membuat keputusan berasaskan maklumat yang sahih. Data kadar jangkitan, liputan vaksinasi dan keberkesanan langkah kawalan menjadi panduan utama dalam menetapkan dasar kesihatan dan pendidikan. Situasi ini menunjukkan bahawa kefahaman statistik telah menjadi keperluan asas masyarakat moden, bukan ilmu terhad kepada ahli akademik semata-mata.
Dalam konteks pendidikan matematik, statistik berperanan membentuk cara berfikir yang analitik dan rasional. Pelajar yang berupaya mentafsirkan data dengan tepat lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar. Pembelajaran statistik mengasah kemahiran berfikir secara kritis dengan memberikan makna terhadap data, bukan sekadar latihan pengiraan seperti min, median atau sisihan piawai.
Keperluan abad ke-21 menuntut pelajar untuk memiliki kecekapan dalam pemikiran kritikal, penaakulan logik dan literasi data. Apabila pelajar menghasilkan graf, menganalisis taburan atau menilai kesimpulan daripada set data, mereka sedang dilatih untuk berfikir secara sistematik dan membuat keputusan berdasarkan bukti. Statistik juga mendorong mereka menyoal, menilai dan memahami maklumat dengan lebih mendalam sebelum menerima sesuatu dapatan.
Perkembangan era data raya (big data) memperlihatkan lonjakan yang besar dalam penghasilan data pada setiap saat. Dalam pendidikan, situasi ini membuka peluang yang luas untuk menilai corak pembelajaran pelajar, meninjau keberkesanan kaedah pengajaran serta menambah baik kurikulum berasaskan bukti empirikal. Statistik turut menjadi tulang belakang kepada amalan pendidikan berasaskan data yang kini semakin mendapat perhatian global.
Namun begitu, dalam hal ini, cabaran utama adalah untuk memastikan guru dan pelajar benar-benar menguasai literasi data. Banyak pelajar masih menganggap statistik sebagai bidang yang abstrak dan sukar difahami. Oleh itu, pendekatan pengajaran perlu beralih kepada pembelajaran berasaskan penyiasatan dan konteks dunia sebenar. Apabila pelajar melihat cara dan kaedah statistik digunakan dalam menilai prestasi sekolah, memantau pencemaran atau memahami isu sosial, minat terhadap ilmu ini dapat dipupuk secara semula jadi.
Pada peringkat kebangsaan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memainkan peranan penting sebagai penyedia data rasmi yang menjadi asas kepada analisis dan penetapan dasar negara. Melalui laporan seperti Banci Penduduk dan Perumahan, Indeks Harga Pengguna dan Sistem Akaun Negara, DOSM menyediakan gambaran yang menyeluruh tentang keadaan sosioekonomi Malaysia.
Data yang disediakan oleh DOSM sangat berguna untuk tujuan pendidikan. Guru boleh menggunakan data sebenar bagi mengajar konsep graf bar, histogram atau purata supaya pembelajaran menjadi lebih kontekstual dan bermakna. Pendekatan ini membantu pelajar untuk memahami aplikasi sebenar konsep matematik serta menyedari bahawa statistik berperanan penting dalam memahami masyarakat dan persekitaran.
Selain itu, statistik turut menjadi alat penting dalam menilai kemajuan negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tanpa data yang sahih dan boleh dipercayai, usaha untuk menilai kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan, meningkatkan kualiti pendidikan dan memelihara alam sekitar tidak dapat dilaksanakan dengan tepat. Dalam konteks pendidikan, statistik membantu menilai tahap capaian terhadap pendidikan berkualiti serta mengenal pasti jurang pembelajaran yang wujud.
Pendidikan statistik yang baik mampu melahirkan warganegara yang peka terhadap isu global seperti perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan kesihatan awam. Kefahaman terhadap statistik juga menggalakkan masyarakat menilai sesuatu isu secara analitik dan membuat keputusan yang bertanggungjawab terhadap manusia serta alam sekitar.
Oleh hal yang demikian, budaya celik data perlu disemai sejak di bangku sekolah. Literasi data bukan hanya kemahiran teknikal, tetapi juga keupayaan untuk menilai kesahihan sumber, memahami konteks data dan membuat keputusan secara beretika. Dalam dunia yang sarat dengan maklumat dan berita tidak sahih, kemampuan untuk menilai data secara kritikal amat penting bagi membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan rasional.
Kurikulum matematik juga wajar diperkaya dengan projek berasaskan data sebenar yang memberikan peluang kepada pelajar untuk mengumpul, menganalisis dan membentangkan dapatan mereka. Selain meningkatkan kemahiran statistik, pendekatan ini turut menggalakkan komunikasi, kolaborasi dan kreativiti. Kesemua elemen ini penting bagi melahirkan pelajar yang berdaya tahan serta bersedia untuk menghadapi masa hadapan.
Sebagai rumusannnya, statistik wujud dalam setiap aspek kehidupan manusia dan membantu kita untuk memahami dunia dengan lebih jelas serta membuat keputusan berasaskan maklumat yang tepat. Bersempena dengan sambutan Hari Statistik Negara 2025, masyarakat diseru untuk menanam sikap celik data dalam pembelajaran dan kehidupan seharian. Penghayatan terhadap statistik menjadikan kita lebih peka terhadap realiti di sekeliling dan mampu menilai sesuatu isu dengan pemikiran yang waras serta berasaskan bukti. Setiap angka yang direkodkan juga membawa kisah manusia dan perjalanan kemajuan negara.
Syed Azman Syed Ismail,
Pelajar Pascasiswazah,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Profesor Madya Dr. Siti Mistima Maat,
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.