Diterbitkan pada 1 Mac 2025, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Senawang – Sebanyak 40 mahasiswa dan lima pensyarah dari KPJ Healthcare University (KPJU) telah menyertai Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 peringkat Zon Tengah di Casa Lagenda Convention Centre (CLCC), baru-baru ini.

Dalam acara ini juga, KPJU berpeluang membuka reruai untuk berkongsi maklumat mengenai kanser payudara dan kaedah pengesanan awal kepada pengunjung yang hadir.

“Kami menayangkan video inovasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan pemeriksaan mamografi bagi membantu masyarakat memahami proses pengesanan awal kanser dengan lebih jelas,” ujar Pensyarah Kanan dan Teknologis Profesional dari Fakulti Sains Kesihatan, KPJU, Profesor Ts. Dr. Norhayati.

Menurut beliau, wanita yang mengunjungi reruai turut berpeluang melakukan demonstrasi teknik PSP menggunakan fantom payudara yang mendapat sambutan menggalakkan.

Wanita yang hadir ke reruai KPJU berpeluang mempelajari teknik melakukan PSP serta berpeluang menonton video pembelajaran prosedur pemeriksaan mamografi.

Acara bertemakan Wanita Beraspirasi Membina Legasi ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bagi mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Rozitta Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, YB Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Noraini menekankan keupayaan luar biasa wanita dalam mengimbangi pelbagai peranan, sama ada sebagai pemimpin mahupun suri rumah tanpa mengorbankan kekuatan dan keupayaan diri.

Lebih 600 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta telah hadir memeriahkan majlis.

Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain (kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika kunjungan beliau ke reruai KPJU.

Selain itu, lebih 20 reruai daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan turut dibuka bagi memeriahkan sambutan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi