Diterbitkan pada 1 Mac 2025, 13:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – KPJ Healthcare University (KPJU) sekali lagi menyahut seruan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memupuk minat pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), khususnya dalam sains kesihatan melalui penganjuran program HealthTech STEM Camp 2025 yang melibatkan lebih 80 pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Desa Cempaka, Encik Md Nazri Rahim dan turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar KPJU, Encik Musa Abd Rahman serta tiga orang guru pengiring.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Md Nazri Rahimi menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha menganjurkan program ini yang bermanfaat kepada pelajar.

Beliau berkata, “Program ini bukan sahaja memupuk minat pelajar terhadap STEM, malah memberikan pendedahan yang lebih mendalam tentang pelbagai peluang kerjaya dalam bidang sains kesihatan, sekali gus membantu mereka memahami kepentingan bidang ini dalam kehidupan seharian dan masa hadapan industri kesihatan.”

Menurut Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain yang juga Pensyarah Kanan dan Teknologis Profesional dari Jabatan Pengimejan Perubatan KPJU, program ini merangkumi dua sesi utama.

“Program ini terdiri daripada taklimat kerjaya dalam bidang sains kesihatan serta aktiviti berkumpulan yang dirangka untuk meningkatkan pemahaman dan keterlibatan pelajar dalam bidang tersebut,” ujar beliau lagi.

Pelajar SMK Desa Cempaka meneroka struktur anatomi badan manusia melalui sesi pembelajaran secara langsung.

Selain itu, pelajar turut dibawa melawat makmal pengajaran dan pembelajaran berkaitan program sains kesihatan di KPJU, termasuklah makmal pengimejan diagnostik, makmal farmasi, fisioterapi serta wad simulasi jururawat.

Pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran amali di makmal simulasi KPJU.

Dalam lawatan ini, pelajar didedahkan kepada simulasi pekerjaan dalam bidang sains kesihatan serta berpeluang mencuba sendiri beberapa prosedur makmal yang berkaitan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi