Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Dalam usaha mencapai pengiktirafan “Green Flag” sekolah Eco School, Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist (MGSS) Kuantan mengadakan bengkel Nutrient Film Technique (NFT) hidroponik untuk memperkasakan 30 murid ahli Eco Rangers dengan kemahiran pertanian moden.
Melalui bimbingan Penolong Pegawai Pertanian dari Pejabat Pertanian Daerah Kuantan, Encik Khairul Azli Hamzah dari Pejabat Pertanian Daerah Kuantan dan dua pembantunya, bengkel tiga jam ini menyajikan peluang untuk memahami dan mengamalkan teknik penanaman sayur melalui kaedah hidroponik menggunakan takungan bertingkat enam pasu.
Sesi ini mengajarkan penggunaan alternatif tanah seperti bulu mineral, sabut kelapa, pasir, batu bata pecah dan habuk kayu serta memudahkan penanaman yang tidak memerlukan penyiraman kerana sistemnya yang menyiram akar secara langsung dengan air baja.

Encik Khairul Azli memulakan bengkel dengan memberikan penerangan yang menyeluruh tentang persiapan takungan, pemilihan biji benih, formulasi baja dan lokasi penempatan takungan sambil menunjukkan kaedah merendam sabut kelapa dan proses semaian yang penting untuk pertumbuhan benih yang subur.
Dalam sesi praktikal, pelajar diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan set takungan mereka sendiri, memasang, mengisi dan menyemai benih, sekali gus membolehkan mereka merasakan pengalaman dalam teknik pertanian hidroponik.

Peserta program, Solehah Romael Nazaruddin meluahkan kegembiraannya mendapat ilmu baharu dan menyatakan hasratnya untuk mengamalkan teknik ini di rumah dengan bantuan ibu dan bapa.
Pengetua MGSS Kuantan, Puan Josephine Hezrin Azhar dalam ucapan penutupannya menekankan komitmen sekolah terhadap pelaksanaan pelbagai program Eco Schooll yang dianjurkan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) seperti taman herba, akuaponik dan baja kompos yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan kelestarian alam sekitar.
Kami telah membina jaringan dengan beberapa agensi dan sekolah yang telah terlebih dahulu menjalankan program Eco School dan terbaharu, kami melakukan lawatan penanda aras ke Sekolah Kebangsaan Padang Temu di Melaka dan Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar di Seremban bagi bertukar-tukar pandangan dan mempelajari kaedah yang dibuat sebagai persediaan menerima kunjungan pasukan penilai daripada GGAF.
Beliau yakin bahawa melalui kerjasama dan usaha yang gigih daripada seluruh warga sekolah, MGSS Kuantan akan mencapai sasaran untuk mendapatkan pengiktirafan “Green Flag” yang diidamkan.
Bengkel ini juga mendapat sokongan padu daripada komuniti sekolah melalui kehadiran tetamu kenamaan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pembimbing Eco Rangers.
Bagi menyokong usaha ini, Jabatan Pertanian Daerah Kuantan telah menyumbangkan dua set hidroponik kepada sekolah untuk menunjukkan dukungan berterusan terhadap pendidikan kelestarian dalam kalangan pelajar.
