3 Januari 2025, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Pertandingan IdeaX2.0 anjuran Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) yang berlangsung di Kampus Kuantan telah menjadi medan untuk menyerlahkan inovasi dan kreativiti para pelajar Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh).

Sebanyak 21 pelajar KMPh yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan telah menghasilkan projek pembangunan laman sesawang dan automasi di bawah bimbingan pensyarah pembimbing.

Pelajar Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) yang menyertai Pertandingan IdeaX2.0

Majlis perasmian pertandingan ini disempurnakan oleh pensyarah Jabatan Komputer dan Informasi Teknologi TAR UMT, Puan Mukrimah Nawir.

Penasihat Kelab Young Inventors Club KMPh, Puan Nurul Hidayah Kamardin menyatakan bahawa pertandingan ini menjadi platform untuk para pelajar mempamerkan semangat dan kebolehan mereka.

Menurut beliau, walaupun masa yang diberikan untuk menyiapkan projek singkat, pelajar berjaya menghasilkan inovasi yang mempunyai impak besar kepada masyarakat.

Projek yang dihasilkan juga menunjukkan potensi untuk diperluaskan kepada khalayak yang lebih luas pada masa hadapan.

Antara inovasi yang meraih perhatian termasuklah Study Buddy Tamagotchi, iaitu aplikasi revolusioner yang direka untuk meningkatkan produktiviti pelajar dengan menggabungkan alat pengurusan masa dan sokongan kesihatan mental.

Pensyarah pembimbing, Puan Nurhidah Munawer bersama-sama pemenang yang mencipta aplikasi Study Buddy Tamagotchi.

Aplikasi ini mempunyai ciri seperti Study Buddy yang diinspirasikan daripada konsep Tamagotchi yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan rakan maya berdasarkan kemajuan pembelajaran mereka.

Ciri lain dalam aplikasi ini termasuklah pemasa 50-minute Pomodoro, Comfort Zone untuk relaksasi dan Chat Features untuk berhubung dengan kaunselor.

Pelajar juga boleh menggunakan ciri To-Do Task untuk pengurusan tugasan dan menerokai Educational Resources serta Study Playlist untuk kekal bermotivasi.

Projek ini dihasilkan dalam masa dua minggu oleh Muhammad Amirul Syafiq Mohd Azli bersama-sama rakan pasukannya, Ifti Nur Umairah Wahab dan Nivashini a/p Thayalan.

Menurut Puan Nurhidah Munawer, inovasi ini membuktikan bahawa kerjasama dan komitmen mampu melahirkan penyelesaian yang berkesan dalam masa singkat.

Kejayaan pelajar KMPh di pertandingan ini turut diraih melalui beberapa pencapaian lain yang membanggakan.

Penyampaian hadiah kepada pelajar KMPh oleh Pensyarah Kanan Jabatan Komputer dan Informasi Teknologi TAR UMT, Puan Mukrimah Nawir.

Anugerah Poster Terbaik dimenangi oleh Humairool Farezhamzy Hirool Fadzlie, Muhammad Azri Irfan Azrul dan Naufal Najmi Norazli di bawah bimbingan Puan Norshariraliza Abdul Halim.

Sementara itu, Anugerah Penyampai Terbaik diraih oleh Gurjit Sadu Singh a/l Ramjit Singh, Lim Yu Siang dan Kiew Chi Yin dengan bimbingan Puan Nik Najiah Nek Rakami dan Encik Arizal Zainal Abidin.

Anugerah Projek Terbaik pula dianugerahkan kepada Muhammad Amirul Syafiq Mohd Azli, Nivashini a/p Thayalan dan Ifti Nur Umairah Wahab di bawah tunjuk ajar Puan Nurhidah Munawer.

Selain itu, kumpulan lain turut meraih Bronze Award, Silver Award dan Gold Award, sekali gus membuktikan kehebatan pelajar KMPh dalam menghasilkan inovasi yang berimpak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.