Diterbitkan pada 10 Disember 2024, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Dalam usaha memberikan pengetahuan dan kemahiran tentang asas pemakanan sihat, perancangan menu, penyediaan makanan sihat, penggayaan makanan dan strategi pemasaran melalui sosial media, Kursus Pemerkasaan Usahawan Makanan Sihat “Right Diet for You” anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), UKM itu diadakan selama tiga bulan secara bersemuka dan dalam talian.

Sebanyak 25 orang peserta yang terdiri daripada pengusaha makanan di sekitar Lembah Klang diberikan bimbingan dan setiap peserta dikehendaki untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu menu sihat pada sesi akhir kursus untuk dinilai oleh pakar yang diundang dan kemudiannya menu tersebut dipromosikan dan dipasarkan kepada pelanggan.

Dalam perkembangan lain, kejayaan para peserta menamatkan kursus ini diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Kursus Pemerkasaan Usahawan Makanan Sihat “Right Diet for You” di Bangunan PUSANIKA, UKM yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Puan Fadzilah Fadzil dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.

Menurut Puan Fadzilah Fadzil, kursus ini adalah sejajar dengan misi SKUM untuk menjamin makanan yang mencukupi, selamat dan sihat serta meningkatkan status ekonomi masyarakat.

Sementara itu, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata,

Inisiatif sebegini ialah satu daripada peranan ahli penyelidik di universiti, iaitu menjalankan penyelidikan yang boleh memberikan impak kepada masyarakat dengan meningkatkan status kesihatan dan ekonomi komuniti.

Dalam majlis tersebut juga, buku menu makanan sihat yang dihasilkan oleh para peserta telah dilancarkan dalam bentuk flipbook dan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang menerima anugerah penghargaan daripada pihak penganjur, misalnya Anugerah Menu Sihat; Anugerah Promosi Terbaik; Anugerah Kreativiti Menu Terbaik dan Anugerah Peserta Paling Komited.

Buku menu makanan sihat dilancarkan dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Kursus Pemerkasaan Usahawan Makanan Sihat “Right Diet for You” di Bangunan PUSANIKA, UKM.
Antara peserta yang menerima anugerah daripada pihak penganjur.
Antara peserta yang telah menerima sijil penyertaan Kursus Pemerkasaan Usahawan Makanan Sihat “Right Diet for You”.

Pada masa yang sama, para peserta juga berpeluang mengadakan jualan dan menyediakan sampel uji rasa kepada pelanggan dalam majlis tersebut.

Antara menu makanan sihat yang dijual semasa program berlangsung.

Menerusi kursus ini, para peserta berupaya menarik perhatian pelanggan, sekali gus meningkatkan penjanaan pendapatan mereka berbanding dengan sebelum mengikuti kursus berkenaan.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar; Pengerusi PAWE, UKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin; Pengerusi Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Arimi Fitri Mat Ludin dan Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Masyarakat), FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf merangkap Ketua Projek “Right Diet for You”.

Peserta Kursus Pemerkasaan Usahawan Makanan Sihat “Right Diet for You” bergambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan.

Pautan menu makanan sihat yang dihasilkan oleh para peserta kursus tersebut boleh didapati di sini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi