Diterbitkan pada 4 Disember 2024, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) memperkukuh kerjasama strategik dengan Special Olympics Malaysia (SOM) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, baru-baru ini.

Inisiatif berkenaan telah bermula sejak tahun 2018 dan melambangkan dedikasi kedua-dua pihak dalam meningkatkan kesejahteraan golongan kurang upaya intelektual (ID).

Dalam majlis berkenaan, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid menyatakan bahawa MoU yang ditandatangani itu merupakan pembaharuan terhadap kerjasama yang sedia ada.

Ujar beliau,

Melalui pembaharuan MoU ini, UKM berhasrat untuk memperluas skop kolaborasi agar dapat memberikan impak yang lebih berkesan kepada komuniti ID.

Sokongan FSK, UKM terhadap SOM terbukti melalui pelaksanaan pelbagai program penting seperti 5th Special Olympics Malaysia National Games 2022, National Family Health Forum 2023 dan Special Olympics International Healthy Athletes Program 2023.

Melalui Klinik Optometri Bergerak UKM juga, sokongan ini bukan sahaja akan diteruskan, malah diperkasakan untuk manfaat komuniti yang lebih meluas.

Kerjasama ini turut memberikan peluang kepada pelajar UKM, terutamanya pelajar dalam program Optometri untuk memberikan pendedahan klinikal bersama-sama golongan ID dan akan diperluas kepada pelajar dari program lain di FSK seperti Fisioterapi, Terapi Cara Kerja dan Audiologi sejajar dengan pelaksanaan MoU tersebut.

Dalam majlis yang sama, pihak P&G dan Watsons turut menyumbangkan dana berjumlah RM15,000 untuk menyokong penganjuran program Healthy Athletes UKM–SOM 2024.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Watsons, Danny Hoh; Pengurus Jualan Watsons, Lim Shu Wen; Pengurus Negara Malaysia dan Singapura, Nantha Kalimuthu dan Ketua Jualan Moden dan Farmasi, Wong Chee Kang dan disambut baik oleh Presiden SOM, Encik Bong Koi Sin dan Puan Connie.

Sesi penyerahan sumbangan oleh P&G dan Watsons kepada wakil SOM bagi program Healthy Athletes UKM–SOM 2024.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi