Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Penganjuran Sambutan Hari Radiografi Sedunia 2024 oleh Persatuan Pelajar Radiografi, Universiti Healthcare KPJ (KPJU) secara dalam talian bertujuan untuk meraikan sumbangan ahli radiografi, khususnya di Malaysia, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bidang ini dalam sektor penjagaan kesihatan.
Program yang bertemakan “Promoting the Profession” telah berjaya menghimpunkan sebanyak 80 orang mahasiswa dari Program Pengimejan Perubatan peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
Menerusi ucapan perasmian yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, KPJU, YBrs. Profesor Madya Dr. Khairiah Abdul Hamid, beliau menekankan tentang kepentingan peranan ahli radiografi dalam diagnosis dan rawatan pesakit serta keperluan untuk memperkukuh jaringan antara mahasiswa dengan ahli industri.
Menurut beliau,
Bidang radiografi bukan sahaja menawarkan peluang kerjaya yang cerah, malah memberikan peluang kepada ahlinya untuk membantu masyarakat dengan cara yang bermakna.
Ujar beliau, program ini diadakan untuk menunjukkan komitmen KPJU dalam memastikan mahasiswa dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam industri, di samping menyokong perkembangan profesion radiografi.
Pengisian utama dalam program tersebut ialah sembang santai bersama-sama Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Ahli Radiografi Malaysia (MSR) yang diwakili oleh Naib Presiden MSR, Encik Mohammad Mudzakir Zainal Alam; Setiausaha Agong MSR, Encik Mohd Imran Mohd dan Editor Jurnal MSR, YBrs. Profesor Madya Dr. Muhammad Khalis Abdul Karim.

Sesi sembang santai berkenaan memberikan peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin industri serta mendapatkan pandangan tentang perkembangan terkini dalam bidang radiografi.
Encik Mohammad Mudzakir Zainal Alam berkata,
Jaringan antara mahasiswa dengan ahli industri dalam bidang radiografi adalah penting kerana setiap ilmu dan pengalaman yang dikongsikan merupakan satu inisiatif dalam memastikan bidang ini terus berkembang.
Tambah beliau, pemahaman para peserta mengenai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan adalah sangat penting untuk meningkatkan mutu perkhidmatan ahli profesion ini kepada masyarakat.
Untuk rekod, Sambutan Hari Radiografi Sedunia disambut pada November setiap tahun untuk memperingati sejarah penemuan sinar-X oleh seorang saintis barat, Sir Wilhelm Rontgen pada tahun 1895.