21 September 2024, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Sebagai langkah proaktif untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran profesional dalam bidang pemulihan tangan, Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Bengkel Pemulihan Tangan Pascapembedahan Tendon: Pendekatan Terkini selama dua hari.

Bengkel tersebut telah berjaya menghimpunkan sebanyak 19 orang ahli fisioterapi dan terapi cara kerja dari pelbagai institusi yang memfokuskan teknik terkini yang digunakan untuk tujuan pemulihan selepas pembedahan tendon dilakukan.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, YBrs. Profesor Dr. Zulkhairi Haji Amom ketika merasmikan bengkel tersebut menekankan kepentingan untuk para pengamal sains kesihatan mendaftar di bawah Majlis Sains Kesihatan Bersekutu Malaysia sebagaimana yang diwajibkan di bawah Akta 774.

Bengkel Pemulihan Tangan Pascapembedahan Tendon: Pendekatan Terkini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, YBrs. Profesor Dr. Zulkhairi Haji Amom.

Ujar beliau,

Akta ini bukan sahaja bertujuan mengawal selia bidang seperti fisioterapi dan terapi cara kerja, malah memastikan hanya individu yang mempunyai kelayakan dan kompetensi yang dibenarkan untuk memberikan rawatan kepada pesakit.

Saya amat menggalakkan semua pengamal untuk mengambil peluang ini bagi meningkatkan pengetahuan mereka sepanjang bengkel ini berlangsung.

Sementara itu, Puan Julia Ahmad Kamal selaku tetamu undangan dalam bengkel tersebut yang sangat berpengalaman luas dalam bidang pemulihan tangan menegaskan bahawa proses pemulihan tendon selepas sesi pembedahan memerlukan pendekatan yang berhati-hati dan intensif.

Puan Julia Ahmad Kamal ketika menerangkan tentang penilaian dan saringan bagi pemulihan tangan selepas sesi pembedahan tendon dijalankan.

Katanya,

Pemulihan tendon merupakan satu proses yang sangat kritikal, jadi para peserta yang menyertai bengkel ini diharapkan dapat menerapkan ilmu yang diperoleh untuk memberikan rawatan yang lebih berkualiti kepada para pesakit.

Objektif utama bengkel berkenaan adalah untuk memperkenalkan pendekatan yang lebih berkesan dalam pemulihan fungsi tangan selepas pembedahan serta mempercepat proses penyembuhan dan meminimumkan komplikasi untuk jangka masa panjang.

Demonstrasi praktikal  juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mempelajari teknik secara langsung, sekali gus menjadikan bengkel tersebut sebagai platform yang penting untuk meningkatkan kompetensi dalam kalangan ahli profesional kesihatan.

Sesi praktikal mengenai teknik perawatan dan pemulihan tangan oleh Puan Julia Ahmad Kamal bersama-sama para peserta.

Selain berupaya memberikan pendedahan terkini kepada para peserta, bengkel berkenaan turut memperkukuh jaringan komuniti kesihatan pada peringkat tempatan dan membuka ruang kerjasama serta sokongan dalam bidang pemulihan tangan di Malaysia.

Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasakan profesional kesihatan dengan pendekatan dan kemahiran terkini, di samping meningkatkan kualiti rawatan dan kesejahteraan pesakit di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.