Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan kempen Bulan Kesedaran Afasia yang diadakan di seluruh dunia sepanjang Jun pada setiap tahun, Program Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pertubuhan sukarela Aphasia in Malaysia (AIM) telah bekerjasama menganjurkan program komuniti yang berlangsung di Pusat Membeli-belah KL Eco City Mall.
Program yang diterajui oleh pengasas bersama AIM, Encik Raymond Low dan penggerak utamanya, Encik Daniel Lim telah disertai oleh kira-kira 40 orang pejuang afasia, pasangan penjaga dan pelajar prasiswazah dalam jurusan terapi pertuturan–bahasa dan jurusan terapi cara kerja, UKM.
Menurut Encik Raymond Low, usaha yang diketengahkan oleh pertubuhan ini adalah untuk membuka peluang kepada pejuang afasia untuk kembali semula berintegrasi dengan masyarakat.
Oleh sebab itu, program kumpulan sokongan afasia dijalankan di pusat membeli-belah supaya masyarakat lebih terdedah dengan golongan yang mengalami afasia.
Ujarnya juga, “Seluruh dunia sedang menjalankan usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang afasia, justeru kita tidak harus ketinggalan dan akan terus berusaha agar golongan ini mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya.”
Sepanjang program kempen yang berlangsung semalam, para pejuang afasia dan pasangan penjaga bersama-sama para pelajar telah menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah permainan teka aksi, mengenal pasti dan menerangkan tentang objek keperluan, menghasilkan cenderahati serta bertukar-tukar hadiah.
Selain melatih para pejuang afasia bertutur, mereka juga diberikan galakan untuk berkomunikasi dengan pelbagai cara seperti menggunakan gerakan tangan dan badan, menulis dan melukis.

Usaha sukarela ini juga telah menjadi platform bagi para pelajar untuk lebih memahami keadaan afasia dan menimba pengalaman berinteraksi dan menyokong komunikasi individu dengan afasia.

Afasia merupakan satu daripada jenis kurang keupayaan komunikasi yang dialami oleh individu dewasa yang sebelumnya telah pun mempunyai keupayaan berkomunikasi yang matang.

Kecederaan otak seperti yang berlaku di kalangan pesakit strok, kecederaan otak traumatik dan kanser otak sering menyebabkan gangguan fungsi pemprosesan bahasa yang dikenali sebagai afasia.
Gangguan fungsi pemprosesan bahasa menyebabkan individu yang mengalami afasia sukar memahami maklumat yang disampaikan kepada mereka serta sukar untuk menggunakan perkataan dan ayat untuk menyampaikan idea dan fikiran mereka.
Kesukaran ini menyebabkan mereka gagal berkomunikasi dengan baik dan lancar yang akhirnya membuatkan mereka tersisih daripada rakan-rakan dan masyarakat, hilang pekerjaan, kurang keyakinan diri dan mudah terganggu emosi.
Tanpa pengetahuan yang tepat tentang afasia, anggota masyarakat tidak memahami masalah yang dialami oleh individu yang mengalami afasia dan tidak dapat memberikan sokongan komunikasi yang mereka perlukan.