Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanting – Kelab Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan “Pameran Sains Bioperubatan: Kembara Dunia Biomed” di Rumah Amal Raudhatul Jannah pada hari ini sebagai strategi untuk memupuk minat pelajar dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Program ini diadakan untuk berkongsikan pengetahuan sains dan memberikan pendedahan tentang kursus Sains Bioperubatan kepada pelajar sekolah menengah di rumah tersebut.

“Program ini diharapkan dapat membantu memperkasa pelajar, terutamanya para peserta dari Rumah Amal Raudhatul Jannah dengan pengetahuan sains yang relevan, sesuai dengan matlamat kerajaan untuk membentuk generasi yang celik sains dan berdaya saing di peringkat global,” kata Ketua Program Sains Bioperubatan, Profesor Madya Dr. Asmah Hamid dalam ucapan perasmiannya.
Jelasnya lagi, program ini berperanan dalam membangunkan kemahiran insaniah yang penting dalam kalangan pelajar Sains Bioperubatan yang mengatur dan menjalankan acara ini.
“Kumpulan pelajar ini akan memperoleh pengalaman berharga dalam komunikasi dan pengucapan awam, pemikiran kritikal dan pengurusan sesuatu acara,” hurainya lagi.
Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Puan Alea Alyssa Zulkarnain ini melibatkan sebanyak 32 pelajar universiti dari program Sains Bioperubatan, FSK, UKM dan 15 peserta sekolah menengah dari Rumah Amal Raudhatul Jannah yang menempatkan anak yatim, saudara baharu dan golongan kurang berkemampuan.
Antara pengisian dalam Pameran Sains Bioperubatan: Kembara Dunia Biomed termasuklah demonstrasi sains dan permainan interaktif yang direka untuk menjelaskan konsep sains dengan cara yang mudah, menarik dan menyeronokkan.

Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada acara serupa yang berjaya diadakan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak pada tahun 2023 dan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menekankan kepentingan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah.