Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Forum Gelagat dan Tingkah Laku Organisasi dalam Sukan atau Organizational Behavior in Sport yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis bertujuan memberikan input tentang perbezaan skop dan peranan dalam pekerjaan terhadap pembinaan karakter, personaliti dan komunikasi yang berkesan.
Program yang memaparkan perkongsian mengenai cara untuk berhadapan dengan gelagat manusia semasa menjalankan tugas itu menampilkan tiga orang ahli panel yang sangat berpengalaman, iaitu Pengacara Media Prima, Encik Hanif Miswan; Pengurus Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, Encik Zairul Faiz Zanudin; dan Pengadil Bola Sepak Kebangsaan Kelas A, Encik Mohd Shukor Zulkiflee.

“Sesi perkongsian dalam forum tersebut bukan sahaja menampilkan alumni yang telah berjaya dan melakar nama dalam industri, malah mereka kembali ke universiti, tempat mereka menimba ilmu dan memberikan semula pengalaman dan pengetahuan tentang hal semasa yang berlaku dalam alam pekerjaan pada masa ini,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim selaku individu yang mencetuskan idea penganjuran forum berkenaan.

Tambah beliau, bakal graduan juga dapat mengenal pasti perkara yang diperoleh semasa di dalam kuliah bersama-sama pensyarah dan seterusnya melihat persamaan serta melakukan perbezaan atau pertambahan maklumat terhadap semua aspek yang diterima semasa sesi perkongsian dalam program tersebut.
Dalam program tersebut, Encik Hanif Miswan berkongsikan cara untuk berhadapan dengan penonton atau pendengar secara langsung dan spontan serta memastikan dirinya sentiasa menjaga hubungan baik dan memahami kehendak semua ahli produksi semasa bersiaran.
Berbeza pula dengan Encik Mohd Shukor Zulkiflee yang menyatakan bahawa kefahaman undang-undang bola sepak yang jelas serta memahami konteks ketika mengadili sesuatu perlawanan bola sepak memerlukan analisis yang kritis dan cepat dalam membuat keputusan yang betul semasa perlawanan berlangsung, sekali gus menyuntik kefahaman tentang cara untuk berhadapan dengan keadaan membuat keputusan yang penting.
“Setiap pengalaman pembelajaran di universiti adalah penting untuk difahami dan diambil perhatian yang sepenuhnya untuk dibawa ke alam pekerjaan kelak,” ulas Encik Zairul Faiz Zanudin.
Beliau juga menegaskan bahawa apa-apa bentuk ciri personaliti kendiri perlu diadaptasi, sesuai dengan keperluan pekerjaan dan memilih bentuk komunikasi yang paling ideal.