26 Mac 2024, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada hari Jumaat ini, 29 Mac 2024 dan berterusan hingga Mei 2024.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya berkata, monsun timur laut 2023/2024 yang berlaku sejak 11 November tahun lalu akan berakhir apabila bermulanya fasa peralihan monsun tersebut.

Peralihan monsun berkenaan menyebabkan cuaca panas dan kering yang sedang melanda di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka akan beransur pulih menjelang pertengahan April.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa rantau negara akan menerima tiupan angin lemah semasa fasa peralihan monsun dari pelbagai arah yang mengakibatkan ribut petir, sekali gus membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Pada kebiasaannya, kejadian tersebut berlaku, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada sepanjang tempoh fasa peralihan monsun serta peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman sesawang rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai hal ini, orang ramai boleh menghubungi MET Malaysia di talian 1-300-22-1638.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.