20 Mac 2024, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertemuan sulung antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dengan Menteri Luar Negeri Republik Argentina, Puan Yang Terutama (PYT) Diana Mondino bertujuan membincangkan kerjasama perdagangan dua hala, persijilan halal serta sektor penternakan dan pertanian bagi kedua-dua negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataannya berkata, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menekankan potensi beberapa produk Malaysia untuk dieksport ke Argentina seperti produk nilai tambah haiwan dan makanan haiwan termasuklah makanan haiwan berasaskan protein serangga yang diproses.

Pada masa yang sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut menghadiri sesi pertemuan tersebut menawarkan bantuan latihan dan konsultasi kepada badan pensijilan halal di Argentina dalam pematuhan standard halal Malaysia untuk melancarkan proses permohonan pengiktirafan halal JAKIM.

Sementara itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menyatakan hasrat untuk memperbaharui kerjasama sedia ada antara MARDI dengan Institut Teknologi Pertanian dan Ternakan Negara, Argentina melalui memorandum persefahaman yang telah ditandatangani pada Oktober 2019 dan akan tamat pada Oktober tahun ini.

Dalam hal ini, PYT Diana Mondino menyambut baik hasrat tersebut dan menyatakan bahawa pelbagai potensi kerjasama boleh diteroka melalui kerjasama antara kedua-dua pihak.

Beliau turut diundang untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan akan berlangsung pada September ini serta pihak Argentina juga dipelawa untuk menyertai acara dwitahunan tersebut.

Turut hadir dalam sesi pertemuan berkenaan ialah Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, YBrs. Dr. Akma Ngah Hamid; Ketua Pengarah MARDI, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM; Pengarah Bahagian Jabatan Pertanian; pegawai kanan jabatan atau agensi di bawah KPKM serta pegawai daripada Kementerian Luar Negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.