19 Mac 2024, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan mengumumkan empat inisiatif untuk menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran susulan pelarasan harga beras putih import (BPI) oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 1 September tahun lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataannya berkata, kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 1/2024 bersetuju menurunkan harga jualan runcit BPI dalam pasaran sebanyak RM2 hingga RM3 yang berkuat kuasa esok, 20 Mac 2024 bagi meningkatkan akses rakyat terhadap bekalan beras pada harga yang munasabah.

“Inisiatif yang dilaksanakan itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutamanya sepanjang Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.

Tambah beliau, semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta juga sebagai satu daripada langkah yang diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan pengedaran BPT dalam pasaran.

Aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Pertubuhan Peladang akan diperluas dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program bagi meluaskan jaringan pengedaran BPT selain meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras di seluruh negara.

Menurut beliau, inisiatif yang memerlukan BPI dipakai sepenuhnya oleh semua kontrak kerajaan menyebabkan bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan dalam pasaran pada April nanti.

Menerusi kaedah ini, bekalan beras melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah dan pertambahan BPT dalam pasaran dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat.

Ujar beliau, pelan tindakan jangka masa panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik turut dibincangkan bersama-sama semua pemegang taruh dalam memastikan industri padi dan beras kekal mampan, terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.