19 Mac 2024, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tiga produk kosmetik, iaitu Toner Treatment EWSB, N Glow EWSB dan Glory Cosmetics Facecream dikesan mengandungi racun berjadual. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya berkata, orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan kerana boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Toner Treatment EWSB.
Glory Cosmetics Facecream.

“Setiap produk kosmetik yang terlibat itu tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia dan notifikasinya juga telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan tersebut.

Hidrokuinon dan tretinoin dikesan di dalam Toner Treatment EWSB, hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-vaIerate pula terdapat di dalam N Glow EWSB, manakala Glory Cosmetics Facecream mengandungi merkuri.

Menurut YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, sistem saraf dan mengganggu perkembangan otak kanak-kanak, menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan Iain pada kulit.

Jelas beliau, produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-vaIerate hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Produk yang mengandungi hidrokuinon berupaya menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Tambah beliau, kulit juga akan menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari jika menggunakan produk yang mengandungi tretinoin.

Orang ramai turut digesa untuk tidak menggunakan produk yang mengandungi betamethasone 17-vaIerate kerana mengakibatkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh menyebabkan mudarat.

Beliau turut menegaskan bahawa penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut perlu dihentikan serta-merta kerana telah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Hukuman bagi individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan yang berikutnya.

Beliau juga menyatakan bahawa syarikat yang terlibat dengan penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang mengandungi racun boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan yang seterusnya.

Untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik, orang awam boleh melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau menggunakan aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

 

(Sumber foto: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.