10 Mac 2024, 20:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Masyarakat daripada pelbagai latar belakang mempamerkan tanggungjawab terhadap keperluan menjaga persekitaran melalui satu daripada aktiviti KUDAH, iaitu akronim bagi “KUtip sampah sambil riaDAH” yang diadakan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, semalam.

KUDAH merupakan aktiviti anjuran Persatuan Sahabat Sungai Malaysia dengan kerjasama beberapa universiti seperti Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tenaga Nasional.

Penganjuran aktiviti tersebut berjaya menghimpunkan lebih 70 orang peserta yang terdiri daripada aktivis Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, warga kejiranan, pensyarah dan siswa dari kawasan sekitar.

Presiden Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, “KUDAH bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, bertolong bantu dan lestari.”

YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan sebahagian daripada peserta yang hadir menjayakan KUDAH.

“Apabila berkudah, kita berjalan (saya berjalan lebih 12 000 langkah) sambil menikmati keindahan alam sekitar. Jika ada sampah, maka kita kutip. Jika ada yang sewenang-wenangnya membuang sampah, kita tegur.

“Jika ada kemudahan awam yang rosak, kita laporkan kepada pihak berkaitan. Sambil ber-KUDAH, kita bermesra santai dengan rakan lama, atau berkenalan dengan yang baharu,” kata Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini menerusi hantaran Facebook beliau.

Beliau yang turut serta dalam aktiviti tersebut berkata bahawa aktiviti ini dapat memberikan impak positif walaupun sering kali dipandang enteng oleh masyarakat.

“Sampah menyebabkan saluran air tersumbat ketika hujan lebat sehingga boleh menyebabkan risiko banjir kilat,” ujarnya.

Tambah beliau, “KUDAH boleh mengurangkan risiko pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbahaya.”

Usaha melestarikan alam sekitar tanggungjawab semua pihak.

Sementara itu, sekumpulan pelajar yang mengambil bahagian dalam program ini menyatakan, “Program ini mengajar kami tentang kepentingan pendekatan tanggungjawab kendiri dan kebersamaan masyarakat dalam memastikan kemampanan alam sekitar.”

“Walaupun KUDAH boleh dilakukan secara sendirian, pelibatan rakan-rakan dan ahli keluarga dapat memberikan impak yang lebih besar,” tambah mereka.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan isteri, Prof. Dr. Siti Balkis Budin.

Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP dan isteri, Prof. Dr. Siti Balkis Budin turut hadir bagi menjayakan KUDAH.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.