Oleh Norlaili Arif
7 Mac 2024, 18:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Perkhidmatan Rehabilitasi dan Kesihatan (SIHAT@UKM), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategi dan Promosi SIHAT@UKM di Bilik Seminar UKM Karier, Pusanika, UKM bagi merangka strategi untuk mempromosikan perkhidmatan SIHAT@UKM dengan lebih meluas kepada masyarakat umum.

Bertepatan dengan tema FSK, UKM, iaitu “Peneraju Sains Kesihatan”, pelbagai inisiatif dan pelan strategik telah dirangka bagi meningkatkan keupayaan dalam memperkenalkan perkhidmatan sains kesihatan kepada pihak yang memerlukan.

Perkhidmatan di FSK terdiri daripada tujuh perkhidmatan, iaitu optometri, fisioterapi, terapi cara kerja dan psikologi kesihatan yang beroperasi di Cawangan UKM Kampus Kuala Lumpur di Jalan Raja Muda Abd Aziz, manakala perkhidmatan audiologi dan terapi pertuturan di Jalan Temerloh serta perkhidmatan dietetik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Bengkel ini dijalankan bagi mendukung Pelan Strategik T.E.R.A.S FSK 2023–2027 berpandukan lima kebitaraan, iaitu i-minda, holistik, prihatin, watan dan digital dengan objektif utamanya untuk menghasilkan dan memurnikan perkhidmatan yang boleh ditawarkan dalam bentuk pakej bagi menarik minat pihak yang memerlukan perkhidmatan sains kesihatan secara holistik,” kata Ketua Perkhidmatan SIHAT@UKM, Puan Norlaili Arif merangkap pengerusi bengkel berkenaan.

Tambah beliau, bengkel yang berpotensi meningkatkan penjanaan fakulti melalui penawaran pakej atau program yang dirancang ini merupakan bengkel edisi kedua yang menghimpunkan kesemua pegawai klinikal dari FSK, UKM untuk menyumbang idea dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Penolong Dekan Klinikal, FSK, UKM, YBrs. Dr. Masne Kadar dalam ucapan alu-aluannya berkata, bengkel tersebut diharapkan dapat mencapai objektifnya dan menjadi platform yang baik untuk menghimpunkan segala idea daripada para pegawai klinikal yang terlibat.

Penolong Dekan Klinikal, FSK, UKM, YBrs. Dr. Masne Kadar ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Bengkel Pelan Strategi dan Promosi SIHAT@UKM.

Dalam program tersebut, sesi perbincangan meja bulat telah diadakan bagi membincangkan pakej perkhidmatan terbaik dan program yang boleh ditawarkan oleh perkhidmatan SIHAT@UKM kepada pihak berkaitan pada masa akan datang.

Sekitar sesi perbincangan meja bulat bagi membincangkan pakej perkhidmatan terbaik dan program yang boleh ditawarkan oleh perkhidmatan SIHAT@UKM.

Hasil daripada sesi perbincangan tersebut, penawaran pakej saringan kesihatan kepada kanak-kanak yang menglibatkan ujian saringan pendengaran, penglihatan dan keupayaan pembelajaran telah dicadangkan untuk dibangunkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.