7 Mac 2024, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keningau – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mensasarkan Sistem Pengurusan Perladangan Berpusat (CMFS) dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi hingga lima tan metrik di kawasan Magatang.

KPKM dalam kenyataannya berkata, CMFS merupakan program rintis pertama hasil kerjasama antara Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah dengan syarikat swasta, Agricultural Chemicals Sdn. Bhd. dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau.

“CMFS memberikan tumpuan kepada pemantauan dalam sektor penanaman padi dan Keningau merupakan lokasi pertama di Sabah yang akan menggunakan sistem tersebut,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Arthur Joseph Kurup ketika melancarkan CMFS berkenaan.

Pelbagai inovasi seharusnya diwujudkan bagi memastikan peningkatan produktiviti dan kelestarian sektor agromakanan negara dapat bergerak seiring dengan keperluan semasa dan selari dengan hasrat KPKM untuk membudayakan konsep Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR).

Tambah beliau, pelaksanaan CMFS bukan sahaja meningkatkan pendapatan para pesawah, malah mereka akan diterapkan dengan amalan pertanian tepat di samping didedahkan dengan teknologi, pengurusan secara agronomi serta penggunaan input yang betul.

Dalam program yang sama, Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) turut disampaikan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup merangkap Ahli Parlimen P182 Pensiangan kepada pesawah yang aktif menanam padi.

PPK Keningau telah menerima sebanyak RM630,000.00 yang melibatkan 1050 orang penerima, iaitu RM600.00 untuk seorang pesawah bagi BKST fasa dua.

Ujar beliau, pelbagai manfaat boleh diperoleh jika menjadi ahli pertubuhan peladang, misalnya dapat menyertai kursus, menerima bantuan baja serta subsidi dan sebagainya.

Para pesawah, petani dan peladang yang masih belum berdaftar dengan PPK perlu segera membuat pendaftaran bagi mendapatkan manfaat tersebut.

Untuk rekod, sebanyak 2701 orang petani telah berdaftar dengan PPK Keningau dan dianggarkan lebih kurang 200 orang petani lagi yang belum berdaftar.

Menurut KPKM, dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara, pihak kementerian melalui jabatan dan agensinya sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dan kolaborasi dengan pelbagai syarikat swasta dalam menggembleng sumber dan kepakaran masing-masing.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Keningau, Alexius Paulus, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, Puan Hadriyani Ahmad dan 150 orang pesawah dari Magatang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.