28 Februari 2024, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Agenda alam sekitar hendaklah diterapkan dan diinstitusikan dalam pengoperasian syarikat agar pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dapat dibudayakan pada semua peringkat.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyatakan bahawa pihak industri perlu memainkan peranan dalam memperkasakan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, terutamanya dalam pelaksanaan pematuhan kendiri di premis.

“Agenda alam sekitar hendaklah diamalkan oleh pihak pengurusan tertinggi terlebih dahulu agar menjadi contoh kepada kumpulan pengurusan yang lain,” kata beliau.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa JAS menekankan keperluan Orang yang Berwibawa (OYB) di premis masing-masing seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Melalui program Pensijilan Profesional Alam Sekitar, sebanyak 10,353 OYB telah berjaya dilahirkan merangkumi bidang kawalan pencemaran air, pencemaran udara, buangan terjadual dan penilaian impak kepada alam sekitar (EIA) daripada industri dan penggerak projek EIA.

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang telah mencapai usia jubli emas membuktikan komitmen dan usaha berterusan JAS dalam memperkasakan kelestarian alam selain penganjuran pelbagai aktiviti seperti simposium yang menghimpunkan sebanyak 650 orang daripada pelbagai latar belakang dalam industri.

Orang awam boleh melaporkan sebarang aktiviti berkaitan dengan pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel aduan tersebut ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.