27 Februari 2024, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program School’s Out Kids In (SOKI) menawarkan lebih daripada 50 aktiviti pembudayaan sains yang menarik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Februari 2024 di Pusat Sains Negara (PSN), semalam.

“Pada tahun ini, program SOKI Siri 1/2024 dijangka akan menarik hingga 50 ribu orang pengunjung sepanjang program ini diadakan bagi merasakan pengalaman sains yang menyeronokkan di PSN merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuklah pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta komuniti masyarakat awam,” kata MOSTI dalam satu kenyataan.

Menurut MOSTI, Pertandingan Reka Cipta Maskot PSN adalah antara aktiviti menarik yang akan diadakan dalam program SOKI Siri 1/2024 yang berupaya mencungkil bakat, mencabar imaginasi dan kreativiti para peserta dalam mencipta idea dan konsep rekaan menarik maskot bertemakan STI serta berpeluang memenangi hadiah hingga RM1500.00 berserta sijil penghargaan.

Aktiviti menarik lain yang ditawarkan termasuklah Persembahan Sains, Minda Pantas SOKI, Solusi Sains, Ceritera Sebalik Radas dan Aspirasi STEM, Cabaran Dron dan sebagainya.

Jelas MOSTI, selaras dengan objektif penubuhan PSN bagi meningkatkan minat, ilmu pengetahuan sains asas dan memahami praktis sains dalam kehidupan seharian, program SOKI yang bertemakan “Sains Menyusuri Samudera” itu membolehkan masyarakat memahami pelbagai isu saintifik yang berlaku di sekeliling mereka.

Program SOKI dilaksanakan sebanyak tiga kali setahun secara serentak di PSN Kuala Lumpur dan PSN Cawangan Wilayah Utara di Alor Setar, Kedah dan penganjurannya merupakan acara tahunan program STI yang memberikan nilai tambah pengisian STI kepada pengunjung PSN yang meningkat sepanjang tempoh cuti persekolahan.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Puan Ruziah Shafei, Pengarah Planetarium Negara, Tuan Haji Shahruddin Haji Yusof dan Pengarah Pusat Sains Negara. Encik Mohammad Fuad Rahman.

Aktiviti menarik yang ditawarkan dalam Program SOKI.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.