24 Februari 2024, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menjalin kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) untuk mewujudkan Wakaf Masjid Hijau (WMH) sebagai dana alternatif dalam menggalakkan pelaksanaan inisiatif teknologi hijau bagi program Rumah Ibadat Hijau (RIH).

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) semalam, program RIH bertujuan menjadikan rumah ibadat di negara ini sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekali gus memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah dan komuniti setempat.

“Setakat 31 Januari 2024, sebanyak RM257,961.23 telah berjaya dikumpulkan di bawah WMH dengan RM190,000.00 dana tersebut disalurkan kepada empat buah masjid pada tahun lalu,” ujar NRES dalam kenyataan berkenaan.

Susulan hal ini, program Penyerahan Sistem Panel Solar di Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Seremban, Negeri Sembilan telah diadakan dan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad.

YB Nik Nazmi Nik Ahmad merasmikan penyerahan sistem panel solar yang dipasang di masjid berkenaan yang merupakan satu daripada penerima peruntukan sebanyak RM60,000.00 di bawah WMH dan kutipan infak pihak masjid sebanyak RM12,000.00.

“Sebanyak 26,600 kilowatt jam tenaga boleh baharu dijangka akan dijana oleh sistem panel solar berkenaan sekali gus menjimatkan kos utiliti masjid sebanyak RM14,000.00 secara tahunan,” kata NRES.

Pihak kementerian amat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta dan orang ramai kepada WMH menerusi akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank bernombor 2124-576004-6138 bagi menggalakkan penyertaan rumah ibadat dan komuniti di bawah program RIH.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan hal ini boleh melayari laman sesawang YWM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.