23 Februari 2024, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Projek Rintis Spesialisasi Mesin antara Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) dengan Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) menyediakan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi dalam bidang spesialisasi mesin di sektor perladangan.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataannya berkata, warga belia berpeluang melibatkan diri dalam sektor perladangan sawit bersama-sama pekerja tempatan yang berkebolehan secara praktikal serta memiliki pengalaman dalam bidang berkenaan menerusi projek rintis ini.

Sebanyak 100 orang perantis yang memenuhi kriteria seperti berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, berumur 18 tahun hingga 35 tahun, berminat dalam bidang jentera pertanian, latihan kemahiran teknikal serta mempunyai kemahiran komunikasi dan interpersonal yang baik akan menyertai projek berkenaan selama tiga bulan dua minggu bermula pada Februari ini di Akademi Sime Darby Plantation, Pulau Carey.

Menurut KPK, setelah perantis menamatkan latihan dan lulus ujian penilaian dengan jayanya, mereka akan ditempatkan di Sime Darby Plantation Berhad dan pemain industri lain.

Pelaksanaan projek rintis berkenaan merupakan kerjasama sinergi antara pemain industri dan agensi dalam menyokong inisiatif kerajaan ke arah menggalakkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa pemeteraian memorandum perjanjian antara kedua-dua agensi tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin.

Sebelum itu, beliau turut menyaksikan sesi menandatangani perjanjian kerjasama antara SDPB dengan Universiti Malaya bagi Projek Alat Pemotong Laser Fasa Dua.

Jelas KPK, projek kolaborasi yang telah bermula sejak tahun 2021 itu bertujuan membangunkan teknologi pemotongan dengan menggunakan laser bagi bidang kerja penuaian dalam industri perladangan sawit.

Projek prototaip Alat Pengesan Kematangan Buah Sawit Laser yang telah diselesaikan pada akhir tahun 2023 turut diserahkan kepada SDPB dalam acara berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.