22 Februari 2024, 22:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 20 teknologi tempatan disasarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk dikomersialkan dan diguna pakai pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) menjelang tahun hadapan.

Susulan hal itu, satu sesi perkongsian teknologi kepada delegasi PBT Perak yang diketuai oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat (YB) Sandrea Ng Shy Ching telah diadakan di Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Cyberjaya.

“Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menaik taraf tahap penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, beberapa syarikat teknologi tempatan di bawah ekosistem MOSTI telah dipilih untuk berkongsikan teknologi dan inovasi masing-masing bagi menyelesaikan permasalahan setempat yang dihadapi pada peringkat negeri seperti isu pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan PBT yang sering berlaku di sesetengah tempat.

Jelas beliau, usaha tersebut juga dilaksanakan bagi membuka peluang kepada syarikat teknologi dan inovasi tempatan untuk mempromosikan dan mengkomersialkan perkhidmatan mereka pada peringkat agensi kerajaan selain menawarkan teknologi tempatan untuk menangani cabaran setempat.

“Bagi memastikan kualiti penyampaian sentiasa berada pada tahap terbaik dari semasa ke semasa, usaha yang berterusan perlu dilakukan oleh MOSTI bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi pada peringkat PBT,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa PBT dari negeri lain dari seluruh negara juga akan dijemput untuk turut terlibat dalam sesi perkongsian teknologi berkenaan dalam usaha menjalin kerjasama yang lebih erat dan seterusnya menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.