14 Februari 2024, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Keropok House and Industry Sdn. Bhd., perusahaan pemprosesan produk berasaskan ikan dan usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Selangor telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Australia, Singapura dan Brunei.

Syarikat milik bumiputera ini juga telah memperoleh pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) serta kualiti dan mutu produk keluaran syarikat turut dilengkapkan dengan penerimaan pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP) dan pensijilan Halal.

“Pada tahun 2022, nilai pengeluaran myAP di seluruh Malaysia adalah sebanyak RM18,540,000.00 yang melibatkan 72 orang usahawan, manakala nilai pengeluaran mencatatkan peningkatan, iaitu sebanyak RM 22,875,000.00 dengan 78 usahawan pada tahun 2023,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penubuhan program myAP di Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah terbukti dapat membantu golongan sasar untuk menaik taraf kehidupan mereka di samping merancakkan ekonomi negara.

DOF bertanggungjawab dalam membangunkan serta memajukan usahawan dan komuniti perikanan dari aspek pemasaran produk usahawan melalui karnival usahawan perikanan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) serta membantu komuniti perikanan untuk meneroka pelbagai peluang perniagaan berdasarkan sumber perikanan.

YBhg. Dato’ Adnan Hussain menyatakan bahawa usaha yang dilakukan oleh jabatan ini bagi membolehkan usahawan dapat menjual dan memasarkan produk masing-masing kepada lebih banyak pelanggan, termasuklah restoran, pasar tempatan dan pembeli di luar negeri.

Pelaksanaan dan pembudayaan Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang telah diberikan penekanan oleh menteri sebelum ini harus dijadikan pegangan oleh usahawan myAP bagi melonjakkan produktiviti usahawan, kelangsungan sektor agromakanan negara dan seterusnya memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi.

Pihak DOF turut memberikan sokongan teknikal dalam aspek pengurusan dan operasi perniagaan usahawan myAP seperti pemantauan kualiti produk, penguatkuasaan undang-undang perikanan dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan perniagaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.