23 Januari 2024, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dengan tempoh perjanjian selama lima tahun bertujuan mewujudkan komitmen dan menggalakkan kerjasama dalam pemuliharaan alam sekitar melalui pelaksanaan program penguatkuasaan dan kesedaran alam sekitar.

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju dengan skop memorandum, iaitu PUSPAKOM sebagai kemudahan yang diluluskan (KYDL) yang disijilkan oleh JAS, bertanggungjawab untuk membekalkan, melaksanakan dan menyempurnakan kepada pemunya kenderaan yang diarahkan oleh kerajaan untuk tujuan pengujian semula seperti yang ditetapkan oleh JAS.

Pengujian semula tersebut termasuklah ujian pelepasan asap daripada kenderaan berenjin diesel, ujian pelepasan gas pencemar karbon dioksida (CO) daripada kenderaan berenjin petrol dan enjin motosikal.

Menurut Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan, pemeriksaan kenderaan adalah penting untuk memastikan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Enjin Diesel) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Motosikal) 2003.

Bagi mengelakkan pelepasan asap yang berlebihan dan berisiko mengakibatkan pencemaran alam sekitar, semua pihak termasuklah kenderaan komersial, persendirian, industri dan masyarakat awam perlu sentiasa memastikan kenderaan masing-masing diselenggara secara berkala.

Tambah beliau, lebih daripada 20 000 pemeriksaan pelepasan asap atau gas telah dijalankan oleh pihak PUSPAKOM yang melibatkan kenderaan berenjin petrol dan diesel sepanjang tempoh perjanjian dengan JAS, iaitu dari tahun 2014 hingga tahun lalu.

JAS sentiasa komited untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengawal punca pencemaran udara dari pelbagai aktiviti dan antara puncanya adalah daripada kenderaan bermotor, terutamanya di kawasan perbandaran.

Orang awam dinasihatkan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar dengan menghubungi talian 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel kepada [email protected] melalui portal e-aduan JAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.