20 Januari 2024, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mensasarkan sebanyak 57 ribu orang wanita akan mendapat manfaat daripada Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) bagi mempromosikan program saringan awal kanser yang merangkumi Program Saringan Kanser Serviks [ujian papilomavirus manusia (HPV)/asid deoksiribonukleik (DNA)] dan Program Subsidi Ujian Mamogram.

Bulan Kesedaran Kanser Serviks yang disambut pada setiap Januari di seluruh dunia bertujuan memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat terhadap penjagaan dan saringan kesihatan serviks (pangkal rahim) wanita di samping sebagai tanda sokongan masyarakat kepada pemandiri (survivor) kanser serviks.

Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah merasmikan Program Kembara KASIH KPWKM–Gempur Saringan HPV DNA di Desa Tunas Hijau, Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini bagi memberikan manfaat kepada orang ramai dalam meningkatkan tahap kesihatan, khususnya golongan wanita.

Menerusi Program Kembara KASIH KPWKM tersebut, sebanyak 500 orang wanita di Wilayah Persekutuan Labuan akan mendapat manfaat saringan kanser serviks melalui ujian HPV atau ujian DNA secara percuma.

Selain meningkatkan kesedaran wanita untuk menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV atau ujian DNA, Program Saringan Kanser Serviks yang dikendalikan oleh LPPKN itu juga berperanan memberikan kesedaran terhadap wanita tentang kesihatan pangkal rahim dan kepentingan pengesanan awal kanser serviks.

Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks di Wilayah Persekutuan Labuan merupakan simbolik permulaan bagi Jelajah Saringan Kanser Serviks dan perancangan Eliminasi Kanser Serviks di wilayah ini.

Tiga daripada 50 buah Klinik Nur Sejahtera yang dikendalikan oleh LPPKN berada di Sabah, iaitu di Kota Kinabalu dan di Sandakan yang telah pun beroperasi pada masa ini, manakala Klinik Nur Sejahtera di Tawau akan mula beroperasi pada 1 Februari ini.

Anggaran kos yang diperlukan bagi ujian HPV atau ujian DNA di hospital swasta adalah antara RM300 hingga RM500 bagi setiap ujian.

Program pada hari ini bukan sahaja melibatkan program saringan awal kanser serviks, malah turut dimeriahkan dengan program Culture Fun Walk–Unity in Diversity Against Cervical Cancer, Lakas Tah Kitani Bercerita dan Kuiz Kahoot untuk orang awam.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Menteri KPWKM, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.