18 Januari 2024, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 22 projek tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber biogas dan biojisim berjumlah 36.534 megawatt (MW) di bawah mekanisme Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FiT) telah diluluskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, projek TBB yang diluluskan itu bukan sahaja akan membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal tahun 2027, malah mempelbagaikan sumber penjanaan TBB, meningkatkan daya harap pembekalan elektrik negara dan dijangka berupaya mewujudkan nilai pelaburan baharu dalam industri TBB hingga RM372 juta.

Kerajaan telah mengumumkan penawaran dan pembukaan permohonan kelulusan tarif galakan secara e-bidding bagi tiga sumber TBB, iaitu biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil mulai 5 hingga 26 Julai tahun lalu bagi menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik menjelang tahun 2050.

Susulan itu, sebanyak 34 permohonan telah diterima dan semua permohonan tersebut dinilai oleh SEDA Malaysia dari segi penilaian teknikal dan kewangan.

Daripada semua permohonan berkenaan, sebanyak 22 permohonan memenuhi kriteria teknikal dan kewangan merangkumi 21 projek dengan jumlah kuota 29.534 MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas dan satu projek dengan jumlah kuota 7.0 MW untuk penjanaan tenaga elektrik daripada sumber biojisim.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang SEDA Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keputusan e-bidding pada tahun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.