16 Januari 2024, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebarang aktiviti pengambilan benih kerang oleh nelayan dan penternak tidak berlesen dengan menggunakan apa-apa kaedah seperti penggunaan bot berenjin rotor atau tangguk tangan menaiki sampan kayu (tongkah) adalah dilarang.

Hal ini susulan daripada aduan oleh pengusaha lot kerang yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang menyatakan bahawa berlakunya peningkatan aktiviti pengambilan benih kerang di kawasan tapak benih semula jadi kerang dan tapak kerang kultur.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan media, beliau menegaskan bahawa individu yang mengambil benih kerang atau kerang dewasa tanpa suatu lesen yang dikeluarkan oleh DOF melalui notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Perikanan Negeri adalah menjadi satu kesalahan dan akan dikenakan hukuman.

Individu yang mengambil anak atau benih kerang boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002, Seksyen 3 (1) dan Sekyen 4 (1) dan dikenakan denda tidak melebihi RM20 000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengambil anak kerang atau denda tidak melebihi RM10 000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mengambil benih kerang atau kerang dewasa di suatu tapak kerang semula jadi atau tapak kultur melainkan jika satu lesen diberikan kepada individu tersebut untuk mengambil kerang oleh Ketua Pengarah di bawah Peraturan 8.

Berdasarkan data daripada perangkaan DOF, sebanyak 479.47 tan metrik pendaratan kerang dengan nilai RM4 472 873.45 pada tahun 2022, manakala pada tahun 2023 pula, sebanyak 856.37 tan metrik pendaratan kerang dengan nilai RM6 811 769.16 yang melibatkan lapan negeri, iaitu Johor Barat, Kedah, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Dari segi kes, sebanyak empat kes direkodkan yang melibatkan satu sitaan dan tiga kes tangkapan kerang dengan nilai rampasan sebanyak RM8500 di tiga buah negeri, iaitu Selangor, Perak dan Johor pada tahun 2022.

Sementara itu, empat negeri, iaitu Perak, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang terlibat dalam enam sitaan dan tiga tangkapan kerang dengan nilai rampasan sebanyak RM17 185.00 pada tahun lalu.

Sebagai usaha untuk mengekang kes kecurian benih kerang, DOF sentiasa menjalankan pemantauan dan rondaan, sama ada di darat mahupun di laut serta tindakan penguatkuasaan akan diadakan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras kegiatan kecurian benih kerang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.