23 November 2023, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aplikasi MyJalan KKR adalah antara pendekatan proaktif Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan tentang kerosakan jalan, meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh kerosakan jalan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KKR, Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi membuat tinjauan ke lokasi aduan dan kemalangan di Laluan Persekutuan Daerah Klang, Selangor yang kepanjangannya 185.067 kilometer.

Pada 18 November lalu, beliau juga meninjau ke Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3 Daerah Klang, Selangor, iaitu lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut.

Pada tahun hadapan, KKR dan Kementerian Pengangkutan akan menyenggara laluan yang sering digunakan oleh kenderaan berat di sekitar jalan Pelabuhan Klang dengan menggunakan peruntukan yang bakal disalurkan, iaitu sebanyak RM50 Juta secara Geran Padanan.

Terdahulu, sejumlah RM16,349,100 telah diperuntukkan oleh KKR di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen, Berkala Bukan Pavemen, Jambatan dan Penyenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat di Jalan Persekutuan Daerah Klang, Selangor.

Bagi menampung beban kenderaan berat yang banyak di kawasan Pelabuhan Klang, senarai lokasi yang diperoleh perlu disemak dengan teliti bagi mengambil kira kaedah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.