21 November 2023, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – MIMOS Berhad dilantik sebagai agensi pelaksana bagi program Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID oleh kerajaan dengan peruntukan awal yang dianggarkan sebanyak RM80 juta berikutan potensinya yang luas sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Negara dalam membantu wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing pada peringkat global dan merealisasikan matlamat Malaysia MADANI.

Penyelidikan dan kerjasama MIMOS Berhad adalah sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam rangka kerja ekonomi Malaysia MADANI, Ekonomi Digital, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

“MIMOS Berhad akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap semikonduktor, elektronik termaju dan sistem terbenam serta teknologi maklumat dan komunikasi strategik lain, terutamanya yang berkaitan dengan negara pintar dengan memastikan keselamatan dan kedaulatan teknologi negara yang akan mempercepat kemajuan industri teknologi di negara ini,” kata Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sesi lawatan ke MIMOS Berhad.

Selain itu, MIMOS Berhad juga dipertanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju E&E: Pembangunan Teknologi 2021 – 2030 bagi meningkatkan nilai industri elektrik dan elektronik tempatan, menerajui Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam teknologi blok rantai dan memacu Pelan Pembangunan Kecerdasan Buatan (AI) Negara untuk pertumbuhan strategik dan daya saing sepertimana yang diamanahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menyelia agensi berkenaan.

Setakat ini, MIMOS Berhad sedang membangunkan beberapa penyelesaian teknologi termasuklah analisis sentimen, blok rantai, semikonduktor dan tenaga boleh baharu serta menyediakan nasihat dan advokasi teknologi.

Dalam sesi lawatan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Tuan Chang Lih Kang turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MIMOS Berhad atas dedikasi dan usaha berterusan dalam menyokong MOSTI untuk mencipta platform bagi membentuk masa hadapan landskap teknologi Malaysia dan menzahirkan keyakinannya terhadap agensi berkenaan yang mampu menjadi pemangkin kepada industri teknologi Malaysia melalui kejayaan penyampaian semua mandatnya.

Turut hadir dalam sesi lawatan itu ialah Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengasas MIMOS dan Presiden Akademi Sains Malaysia, YM Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.