20 November 2023, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bekalan ikan di Malaysia masih terjamin dan tidak terjejas serta mampu menampung keperluan rakyat melalui pendaratan pelbagai jenis ikan di semua kawasan di negara ini walaupun peralihan monsun timur laut sedang berlaku di kawasan pantai timur negara.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menjalankan kajian dan mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan musim tertutup bagi ikan kembung yang merupakan jenis bekalan ikan yang terdapat di Malaysia di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Kajian pentaksiran sumber yang dijalankan oleh DOF mendapati bahawa bekalan ikan kembung akan mula tertangkap oleh pukat nelayan mulai April ekoran migrasi ikan kembung ke kawasan perairan negara,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan.

Migrasi ikan kembung dan kelangsungan pembiakan semula jadi untuk kemampanan sumber perikanan dipengaruhi oleh perubahan cuaca termasuklah peralihan monsun timur laut.

Sifat semula jadi ikan kembung yang gemar bermigrasi secara berkumpulan bagi tujuan pembiakan dan mendapatkan makanan dibuktikan dengan hasil kajian yang dijalankan oleh Southeast Asian Fisheries Development Center selama lebih daripada 10 tahun.

Sumber ikan kembung yang mulai stabil pada April ini telah didapati berada di kawasan perairan Malaysia sekali gus peningkatan sumber ikan tersebut dapat memberikan keuntungan kepada nelayan tempatan.

Jumlah pendaratan kumulatif ikan kembung di pantai barat Semenanjung Malaysia dalam tempoh 10 tahun, yakni dari tahun 2012 hingga tahun 2022 adalah sebanyak 336 ribu tan metrik, dua kali ganda dari pantai timur Semenanjung Malaysia, iaitu sebanyak 140 ribu tan metrik.

Fenomena tersebut adalah seiring dengan pergerakan arus di perairan negara sekali gus meningkatkan jumlah fitoplankton sebagai makanan ikan dan mendorong ikan bergerak ke kawasan ini.

Kekurangan pendaratan ikan pada masa ini adalah disebabkan oleh sumber ikan bergerak ke kawasan lain dalam ekosistem Laut Andaman dan Laut China Selatan.

Selain itu, ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi bersama-sama negara pada peringkat serantau seperti di Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina dan Brunei.

India dan China adalah antara negara yang paling tinggi dalam pengimportan komoditi ikan kembung, malah ikan ini turut dieksport ke Australia, Brunei dan Hong Kong.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.