Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Program penilaian status pemakanan terhadap kanak-kanak Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam anjuran Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan usaha dalam memberikan pemahaman tentang keperluan pemakanan yang seimbang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup kanak-kanak tersebut.
Program itu melibatkan sebanyak 16 orang pelajar tahun tiga Program Dietetik, UKM dan warga SK Jalan Enam, termasuklah 30 orang kanak-kanak PPKI.
“Program ini penting dilaksanakan agar dapat mengkaji keperluan pemakanan sihat dan status pemakanan dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Hasil penilaian yang diperoleh dapat membantu dalam pembangunan modul pemakanan sihat serta perancangan intervensi pemakanan yang sesuai dan praktikal untuk kanak-kanak tersebut bagi memenuhi keperluan nutrien seharian mereka,” kata Pengetua SK Jalan Enam, Encik Azril Sham Mohamed.
Beliau juga menyatakan harapannya agar pelaksanaan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membolehkan komuniti berkeperluan khas dapat memperoleh pelbagai manfaat daripada program berkenaan.
Sementara itu, pelajar Program Dietetik, UKM, Micole Leong Yi Le berkata, program tersebut merangkumi beberapa jenis penilaian seperti pengukuran berat badan, ketinggian, ukur lilit pertengahan lengan atas, pemerhatian tingkah laku pemakanan kanak-kanak serta penilaian pengetahuan pemakanan.
Menurut beliau, ujian pengetahuan pemakanan yang dilakukan adalah dengan menggunakan cara permainan agar mendapat sambutan dan kerjasama yang baik daripada kanak-kanak berkeperluan khas itu.
Program intervensi pemakanan sihat juga dijangka akan dijalankan lagi pada tahun hadapan agar dapat memberikan pelbagai manfaat dan impak yang besar kepada ibu bapa serta golongan berkeperluan khas ini dalam menjalani kehidupan seharian.