28 Oktober 2023, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Program Contentpreneur Bizz Talk (CPB) 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan Kolej Komuniti Tapah dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Perak dan Communication and Multimedia Content Forum of Malaysia yang diadakan di Politeknik Ungku Omar (PUO) hari ini bertujuan memperkukuh kemahiran keusahawanan digital dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini.

Program tersebut ditawarkan kepada mahasiswa di institusi pendidikan tinggi termasuklah pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) serta usahawan yang terlibat dalam penghasilan isi kandungan digital untuk terus kekal berdaya saing dan meningkatkan kemahiran masing-masing dalam bidang ini.

“Kini, penerapan keusahawanan digital perlu diadaptasi dalam kalangan pelajar POLYCC agar tidak ketinggalan dalam arus perdana ekonomi digital negara kerana bidang ini merupakan tunjang penting untuk peningkatan ekonomi, peluang pekerjaan dan inovasi,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Mohd Zahari Ismail dalam Majlis Penutupan CPB 2023.

Menurut beliau, pelajar hendaklah merebut peluang dengan memanfaatkan ekonomi digital untuk menjadi usahawan alaf baharu dan menjadikan dunia digital sebagai saluran perniagaan untuk pelajar menjana pendapatan dan sebagainya.

Antara pengisian dalam program yang disertai oleh 300 orang pelajar POLYCC Zon Perak itu termasuklah menghasilkan kandungan digital seperti penyediaan penulisan iklan yang menarik, teknik penyuntingan foto dan video serta kaedah pemasaran digital.

Pada masa yang sama, keputusan pemenang bagi pertandingan yang diadakan dalam program tersebut turut diumumkan, yakni Kolej Komuniti Gerik dinobatkan sebagai juara Kategori Pengaruh dan Kesesuaian, Kolej Komuniti Teluk Intan memenangi Kategori Kemahiran Teknikal dan Kolej Komuniti Taiping memenangi Kategori Kualiti Kandungan, manakala Kolej Komuniti Manjung menjuarai Kategori Kreativiti dan Inovasi serta turut membawa pulang Anugerah Juri.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengarah Kolej Komuniti Tapah merangkap Pengarah Keusahawanan POLYCC Zon Perak, Encik Ahmad Nashad Zakaria dan Pengarah PUO, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.