5 Oktober 2023, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keperluan perancangan yang fleksibel dan pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit X yang kini menjadi tumpuan banyak pihak sangat diperlukan sebagai persediaan menghadapi kemunculan penyakit yang belum dapat dikenal pasti itu.

Penyakit X ialah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018 yang merujuk sejenis patogen yang tidak diketahui, namun berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.

“Sebagai usaha dalam memperkukuh kapasiti global bagi menghadapi patogen yang belum dapat dikenal pasti ini, istilah yang diperkenalkan itu bertujuan menggalakkan peralihan tumpuan penyelidikan daripada strain virus tunggal ke arah pengelasan virus yang lebih menyeluruh,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penyakit X yang masih belum dapat dikenal pasti cirinya itu dijangkakan lebih mudah tersebar seperti campak dan berkemungkinan mengancam nyawa sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada pakar kesihatan akan impak yang bakal dihadapi.

Berikutan faktor seperti perubahan iklim, ekosistem dan urbanisasi telah menyumbang kepada risiko peningkatan wabak pada masa akan datang, WHO menekankan kepentingan pelaksanaan proses saintifik yang lebih telus dalam setiap kajian asal usul sesuatu virus.

Tambah beliau, seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan serta pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah pada masa ini telah meningkatkan risiko kadar penyebaran penyakit X yang boleh berasal daripada pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan daripada haiwan kepada manusia.

Mengulas lebih lanjut, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi, penyediaan peruntukan khas pandemik, pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah kawalan, kerjasama antarabangsa dan pengukuhan sistem kesihatan negara adalah inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit tersebut.

Jelas beliau, antara komponen lain yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin termasuklah pelaksanaan pendekatan “One Health” yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar.

Bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan terhadap penyakit X, setiap individu haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam, mengurus berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit tersebut dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.