2 Oktober 2023, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian Daun – Klinik Optometri Bergerak, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM telah dijemput oleh Special Olympics Malaysia (SOM) untuk menjalankan saringan penglihatan bagi atlet kurang upaya intelek (ID) dalam Sukan Olimpik Khas pada 30 September 2023 di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka, bersempena Forum Kesihatan Keluarga Peringkat Kebangsaan.

Perkhidmatan KOB dengan kerjasama SOM dan Lion Club International telah dijayakan oleh 12 mahasiswa di bawah seliaan empat orang pensyarah dan penyelia klinikal, Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM serta dibantu oleh enam orang pegawai perubatan dan lima orang pegawai optometri daripada Jabatan Oftalmologi, Hospital Melaka.

Peserta program yang menjayakan saringan penglihatan melalui perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM dengan kerjasama Jabatan Oftalmologi, Hospital Melaka.

Program ini telah memberikan peluang kepada mahasiswa Program Optometri dan Sains Penglihatan untuk mengaplikasikan nilai kemasyarakatan dan pengetahuan klinikal dalam kalangan populasi khas, iaitu kanak-kanak ID.

Program ini juga mampu melahirkan graduan yang menghayati aspirasi kebangsaan, kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan negara dan masyarakat sejagat selain menyahut satu daripada seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Matlamat Pembangunan Lestari, iaitu memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur.

Pemeriksaan mata oleh pensyarah dan pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM.
Penyampaian sijil penghargaan kepada wakil Klinik Optometri Bergerak, FSK, UKM oleh Special Olympics Malaysia.

Program ini telah mendapat sokongan daripada rakan industri FSK, UKM, iaitu Mandarin Opto Sdn. Bhd dan Maxvue Vision Sdn Bhd yang telah memberikan sumbangan dari segi peralatan klinikal bagi pemeriksaan mata dan kanta bagi kaca mata untuk diberikan kepada kanak-kanak ID.

Dalam program ini juga, sebanyak 100 pasang kaca mata percuma diberikan kepada individu yang layak dan memerlukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.