1 Oktober 2023, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Pelancaran aktiviti komoditi-pelancongan (agropelancongan) yang melibatkan lawatan sambil belajar di bawah pengendalian Koperasi Kluster Koko Sarawak bukan sahaja melestarikan sumbangan agensi komoditi dalam membangunkan ekonomi, malah meningkatkan kesedaran orang ramai dan pelancong mengenai kepentingan dan potensi industri koko di Sarawak.

Bersempena dengan Hari Berandau anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof telah merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan, hari ini.

Aktiviti agropelancongan tersebut bakal dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan, Sarawak Tourism Board, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, agensi pelancongan di Sarawak serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi membolehkan pengunjung mempelajari tentang rantaian pemprosesan koko bermula daripada tanaman sehingga produk coklat dihasilkan.

Antara aktiviti agropelancongan itu termasuklah jual-beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan.

Kompleks Kluster Koko Sarawak merupakan kompleks pertama di Malaysia yang berkonsepkan koko “from farm to table” dengan sumber biji koko tempatan diproses sehingga menghasilkan coklat sumber tunggal (single origin) Sarawak yang mula beroperasi sejak 12 Disember 2021.

Pada masa yang sama, beberapa perjanjian persefahaman antara LKM dengan pihak industri dan koperasi kluster koko dimeterai serta penyampaian sijil kepada 10 orang penerima Anugerah Cocoa Excellence Peringkat Kebangsaan turut diadakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.