1 Oktober 2023, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Acara larian “Fisioterapi Fun Run” anjuran Program Fisioterapi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) bukan hanya sekadar larian, malah satu aktiviti yang mampu meningkatkan kesihatan dan kecergasan komuniti serta mempertingkat kesedaran masyarakat mengenai artritis reumatoid dan bidang fisioterapi di Malaysia.

Program yang mendapat sokongan penuh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Akmal Sabaruddin dan Setiausaha MPA, Encik Joachim John Fernandez.

“Program seumpama ini diharapkan dapat diadakan pada setiap tahun kerana dapat memupuk sikap kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa serta mempromosikan program fisioterapi yang terdapat di UKM kepada masyarakat umum,” kata Timbalan Dekan, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Akmal Sabaruddin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program tersebut.

Timbalan Dekan, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Akmal Sabaruddin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Tambah beliau, program yang bermanfaat ini seharusnya dijadikan sebagai tradisi tahunan demi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, persatuan profesional kesihatan dan masyarakat.

Sementara itu, Setiausaha MPA, Encik Joachim John Fernandez menyatakan bahawa kerjasama yang terjalin menerusi program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang, terutamanya bagi program yang berkaitan dengan fisioterapi.

Sesi penerangan mengenai MPA dan fisioterapi oleh Setiausaha MPA, Encik Joachim John Fernandez.

Sebanyak 200 orang peserta larian telah dilepaskan pada pukul 7.00 pagi oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Tuan Adam Adli Abd Halim bersama-sama Timbalan Dekan, FSK, UKM, YBrs, Profesor Madya Dr. Akmal Sabaruddin, Ketua Program Fisioterapi, UKM, YBrs. Dr. Asfarina Zanudin, Ketua Klinisian Fisioterapi, Puan Zainura Abd Karim, Naib Presiden MPA, Puan Kelly Shu dan Setiausaha MPA, Encik Joachim John Fernandez.

Program berkenaan mendapat tajaan dan sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuklah Program Fisioterapi UKM, MPA, Bubbles 02, PhysioGo, Medi Lifesports, Neolee Rehab Supply, Pantai Integrated Rehab dan syarikat MDF.

Mahasiswa Fisioterapi UKM, MPA, para penaja dan peserta larian yang terlibat dalam program “Fisioterapi Fun Run”.

Dalam program yang sama, pelbagai pameran menarik disediakan oleh mahasiswa UKM, MPA dan Neolee Rehab Supply serta mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para pengunjung yang hadir.

Selain aktiviti larian, program tersebut turut menawarkan sesi ujian kecergasan dan fizikal, kuiz, permainan dan pameran mengenai fisioterapi dan artritis reumatoid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.