24 September 2023, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semporna – Susulan isu bekalan air mentah yang dihadapi oleh komuniti nelayan di daerah Semporna, Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Hybrid Power System and Desalination telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Arthur Joseph Kurup, hari ini bagi membantu menghasilkan air bersih kepada komuniti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna di Pulau Sebangkat, Semporna, Sabah.

Selain mampu meningkatkan kualiti kehidupan dan produktiviti, projek yang mendapat sentuhan kepakaran SIRIM Berhad itu dapat mengurangkan bebanan kos air bersih yang tinggi sebelum ini dengan penjimatan sebanyak RM60 untuk setiap penduduk, sekali gus memudahkan urusan harian masyarakat di kawasan tersebut kerana tidak perlu lagi ke Pekan Semporna untuk membeli air.

“Selaras dengan visi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi, MOSTI sangat komited dalam memberikan galakan dan sokongan kepada penggunaan hasil inovasi, penyelidikan dan pembangunan tempatan agar digunakan oleh masyarakat secara inklusif, terutamanya bagi membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan B40 dan kesejahteraan yang lebih terangkum,” kata YB Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, perusahaan penternakan tanaman rumpai laut dan pembinaan pusat peranginan yang berdaya saing juga wujud dengan adanya pelaksanaan projek tersebut sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg. Datuk Ir. (Dr.) Khairol Anuar Mohamad Tawi menyatakan bahawa selain mampu mengurangkan masalah dan beban yang ditanggung oleh penduduk yang terlibat, teknologi penyahgaraman yang berasaskan teknologi hijau itu dapat mengurangkan kesan gas karbon dioksida kepada alam sekitar dan seterusnya mengurangkan pemanasan global.

Berdasarkan cirinya yang berasaskan sumber tenaga diperbaharui, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada sumber tenaga daripada grid telah membolehkannya beroperasi dengan menggunakan sistem bekalan tenaga yang sedia ada dan sesuai digunakan di pulau ataupun di kawasan pedalaman yang tiada bekalan air bersih ataupun bekalan elektrik.

Untuk jangka masa panjang pula, beliau berpandangan bahawa teknologi tersebut dapat membantu dalam menangani krisis bekalan air bersih dan dijadikan sebagai sumber air mentah negara pada masa hadapan.

Sebelum majlis tersebut bermula, delegasi yang menyertai kunjungan itu telah dibawa melawat ke tapak projek Pusat Hybrid Power System and Desalination dan kemudiannya melawat ke kawasan sekitar bagi melihat aktiviti yang dijalankan oleh komuniti setempat.

Taklimat mengenai projek yang telah mendapat suntikan dana daripada Malaysia Social Innovation (MySI) pada tahun 2019 dan selesai dibangunkan pada tahun 2021 itu telah disampaikan oleh wakil SIRIM Berhad selaku ketua projek tersebut, YBrs. Dr. Rohaya Md Zin.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Pegawai Daerah Semporna, Encik Alexander Liew, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, DCP Victor Sanjos dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Semporna, Encik Salleh Haji Abdul Salleh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.