17 Ogos 2023, 20:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di empat buah daerah, iaitu Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (Terengganu) boleh mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan MADANI (SPM) bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ProtectHealth, program perintis SPM itu menyediakan rawatan kes akut secara percuma dan ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan di klinik swasta yang berdaftar dan berdekatan dengan tempat kediaman atau tempat kerja.

Konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan adalah antara perkhidmatan percuma yang ditawarkan di klinik swasta kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.

Kementerian Kesihatan Malaysia sangat mengalu-alukan lebih banyak klinik swasta di empat daerah tersebut mendaftar sebagai klinik panel dan setakat ini sebanyak 39 klinik telah diaktifkan dan bersedia untuk memberikan rawatan.

Hingga kini, jumlah klinik swasta yang berdaftar untuk skim berkenaan adalah melebihi 750 buah klinik dan jumlah tersebut dijangkakan meningkat dari semasa ke semasa.

Dengan adanya inisiatif Ekonomi MADANI Kerajaan Perpaduan tersebut, isu kesesakan pesakit luar di kemudahan kesihatan kerajaan dapat diatasi dengan membantu hampir 700 000 isi rumah yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Bermula 25 Ogos 2023, persediaan untuk pelaksanaan SPM sedang dijalankan di Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis.

Peruntukan untuk mendapatkan rawatan bagi setiap isi rumah berkeluarga adalah hingga RM250, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

Penerima yang layak menerima manfaat skim berkenaan boleh mendapat beberapa kali rawatan hingga peruntukan habis digunakan dengan membawa kad pengenalan ketika mendapatkan rawatan tersebut.

Sebarang pertanyaan mengenai SPM termasuklah untuk menyemak kelayakan dan senarai klinik panel boleh melayari laman sesawang ProtechHealth, menghubungi talian 03-8687 2525 atau menerusi aplikasi MySejahtera.

Senarai klinik panel Skim Perubatan MADANI. (Sumber: Facebook ProtectHealth Corporation)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.