10 Ogos 2023, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Bengkel Pemurnian Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) di Hotel Bangi Resort hari ini bertujuan membuat semakan terakhir terhadap kesemua kandungan dalam buku berkenaan agar merangkumi semua aspek yang diperlukan sebelum diterbitkan.

Selain itu, bengkel tersebut juga diadakan untuk menyeragamkan dan menyelaras kaedah penulisan bab dalam buku, melakukan semakan istilah yang terdapat pada setiap bab dalam buku dan membincangkan penyelarasan format, pelaksanaan dan penggunaan buku berkenaan kepada golongan sasar pada peringkat UKM.

“Pegawai sains di UKM perlu mengeluarkan idea dan membantu pihak pengurusan ROSH-UKM dalam memperkemas hal yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan agar pematuhan terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dapat dilaksanakan bagi membolehkan majikan dan pekerja berganding bahu dalam mewujudkan suasana kerja yang selamat, kondusif, sihat dan harmoni,” kata Pengarah ROSH-UKM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Kadir Ariffin ketika merasmikan bengkel berkenaan.

Pengarah ROSH-UKM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Kadir Ariffin ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam Bengkel Pemurnian Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM di Hotel Bangi Resort.

Buku tersebut ialah hasil pengemaskinian daripada Buku Peraturan Keselamatan di Tempat Kerja Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah diterbitkan pada tahun 2005 dan wajar disemak serta diterbitkan semula selaras dengan perkembangan semasa berdasarkan akta, peraturan dan garis panduan terkini.

Antara kandungan yang terdapat dalam buku berkenaan termasuklah pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, keselamatan umum di tempat kerja, keselamatan kimia, keselamatan biologi, keselamatan klinikal, keselamatan kebakaran, keselamatan elektrik dan mekanikal, keselamatan sinaran mengion, pertolongan cemas di tempat kerja dan pengurusan sisa berbahaya.

Antara peserta yang mengikuti Bengkel Pemurnian Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM.

“Buku ini diharapkan dapat dijadikan panduan kepada warga UKM dalam menjalankan sebarang aktiviti atau kerja masing-masing agar dapat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat,” ujar Timbalan Pengarah KKP ROSH-UKM merangkap penasihat bagi penghasilan Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, YBrs. Profesor Dr. Mohd. Nizam Ab. Rahman.

Peserta melakukan semakan setiap bab dalam Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.