23 Jun 2023, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Bahagian Perkhidmatan Sains (BPS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Bengkel Penulisan Laporan Pengurusan Makmal untuk mengasah kemahiran Pengurus Makmal dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap dan mengikut prosedur, garis panduan, peraturan, akta dan pekeliling yang telah ditetapkan serta meningkatkan kompetensi kakitangan kumpulan profesional sains melalui penyediaan laporan teknikal yang berkualiti dan berstruktur.

Laporan yang dihasilkan akan dijadikan sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan peruntukan pembangunan infrastruktur, perolehan alatan makmal, keperluan sumber dan pembangunan makmal serta memenuhi keperluan akreditasi makmal.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab ketika menyampaikan ucapan perasmian bengkel berkenaan menyentuh strategi serta inisiatif fakulti untuk tahun 2023 hingga tahun 2027 yang melibatkan Pengurus Makmal dalam pembangunan dan pengkomersialan prasarana dan instrumentasi penyelidikan bagi penyelidikan berimpak.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab ketika merasmikan Bengkel Penulisan Laporan Pengurusan Makmal di Hotel Bangi Resort.

Sesi pertama bengkel itu dimulakan dengan ceramah “Latar Belakang: Aku, Kami, Mereka dan Ia” yang disampaikan oleh Pakar Rujuk Bidang Kualiti UKM, Pusat Jaminan Kualiti, YBrs. Profesor Madya Dr. Yanti Rosli dengan meminta peserta mengenal pasti skop kerja dan bidang tugas (TOR) masing-masing serta mengkaji faktor dalam penyediaan laporan dengan menggunakan analisis SWOT, iaitu kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.

Peserta melakukan latihan dalam kumpulan untuk menganalisis SWOT.

Dalam bengkel tersebut juga, peserta didedahkan kepada 10 formula bagi penghasilan laporan yang baik, berkualiti dan mudah difahami dalam konteks pengurusan makmal serta diminta menyediakan laporan berdasarkan soalan yang diberikan bagi meningkatkan kefahaman masing-masing.

Penerangan analisis SWOT oleh peserta.
Pakar Rujuk Bidang Kualiti UKM, Pusat Jaminan Kualiti, YBrs. Profesor Madya Dr. Yanti Rosli mengulas pembentangan analisis SWOT yang dibuat oleh peserta.

Dengan adanya Bengkel Penulisan Laporan Pengurusan Makmal ini, para peserta diharapkan dapat menghasilkan laporan perkhidmatan sains dan pengurusan makmal yang menepati keperluan pengurusan kualiti fakulti, pengurusan sumber serta pembangunan fasiliti dan instrumentasi.

Peserta bergambar bersama-sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab dan penceramah.
Sesi penyampaian cenderamata kepada penceramah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.