18 Jun 2023, 20:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jeram – Program Kesihatan Fizikal dan Konsultansi yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menarik penyertaan sebanyak 30 orang warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di Masjid Nurul Huda, Jeram, hari ini.

Program yang telah dijayakan oleh 51 orang pelajar fisioterapi separuh masa semester enam ini dibimbing oleh Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Fisioterapi, UiTM, Dr. Azliyana Azizan dengan kerjasama ahli kariah Masjid Nurul Huda dan diketuai oleh ahli fisioterapi dari KPJ Ampang Puteri, Abdul Fayyadh Abdul Rahim.

Dalam program ini, ceramah ringkas yang bertajuk “Pengendalian Fisioterapi Asas kepada Warga Emas” telah disampaikan oleh ahli fisioterapi dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Mohammad Naim Ramli yang berkongsikan tentang risiko besar seseorang untuk jatuh dan tindakan yang perlu dilakukan jika terjatuh.

Kejatuhan boleh menyebabkan kecacatan yang ketara dan kematian kepada warga emas serta menjejaskan kualiti hidup. Usia yang semakin bertambah akan meningkatkan kekerapan jatuh dan kemungkinan kecederaan. Oleh sebab itu, warga emas perlu mengetahui cara yang tepat untuk bangun setelah jatuh agar terhindar daripada cedera lanjutan atau sebarang komplikasi.

Sesi ceramah bertajuk “Pengendalian Fisioterapi Asas kepada Warga Emas” oleh ahli fisioterapi dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Mohammad Naim Ramli dalam Program Kesihatan Fizikal dan Konsultansi di Masjid Nurul Huda, Jeram, hari ini.

Menurut Puan Hasmah Mohd Hasan yang juga peserta dalam program ini, tahap kesihatan fizikal perlu sering diuji, terutamanya apabila semakin meningkatnya usia.

“Pendedahan kepada aktiviti fizikal dan kesejahteraan emosi memainkan peranan penting dalam perkembangan komuniti yang baik,” jelas ketua peserta program, Encik Mohamad Yusri Rosi.

Dalam program ini juga, lebih daripada 10 stesen ujian saringan dilakukan termasuklah ujian kekuatan otot tangan dan kaki, kelenturan otot tangan dan kaki, keseimbangan, ujian ketahanan jantung, risiko jatuh, tahap kognitif, tahap depresi, dan sesi konsultansi.

Sesi senaman aerobik berkumpulan.

Program ini juga dilengkapkan sesi senaman aerobik berkerusi secara berkumpulan untuk meningkatkan kekuatan otot tangan dan kaki, keseimbangan tubuh, kelenturan, serta mengurangi risiko jatuh pada masa hadapan.

Cenderamata penghargaan diserahkan oleh Ustaz Muhammad bin Yunus (Nazir Masjid Nurul Huda) kepada Dr. Azliyana Azizan (Penasihat Program) yang diiringi oleh Pengarah Program, Encik Abdul Fayyadh Abdul Rahim.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.